PENGUNJUNG SETIA

08 November 2013

ERAT KERJASAMA AGENSI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
 
Ledang: Penunggang motosikal adalah pengguna jalan raya yang paling ramai disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Bersepadu di empat lokasi sekitar Muar dan daerah ini, baru-baru ini, atas kesalahan lesen memandu tamat tempoh.

Operasi khas bertujuan mendidik masyarakat dan mengeratkan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan itu turut mengesan 12 pemandu positif dadah dan lima pendatang asing yang melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

Pengarah JPJ Johor Johari Yusof berkata, menerusi operasi yang dilakukan di empat lokasi di Ledang dan Muar, pihaknya mengeluarkan sebanyak 287 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 898 kenderaan.

Daripada jumlah itu, katanya, motosikal adalah kenderaan tertinggi disaman iaitu sebanyak 164 diikuti kereta (89); kenderaan berat (18); kenderaan persendirian (10); tiga bas; dua kereta sewa dan sebuah teksi.

Selain JPJ, jabatan kerajaan lain yang turut serta dalam operasi itu termasuk polis trafik; Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM); Jabatan Imigresen; Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan 144 pegawai serta anggota.

Johari berkata, Ops Bersepadu itu bertujuan menjalin kerjasama antara pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bagi mewujudkan jaringan kerjasama lebih berkesan dalam menangani isu penguatkuasaan.

Katanya, dalam operasi sama sembilan kenderaan disita membabitkan enam motosikal dan tiga kereta.

"Ujian saringan air kencing terhadap 91 pemandu dan 12 daripadanya disahkan positif dadah," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 08 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: