PENGUNJUNG SETIA

22 November 2013

1,000 BENIH IKAN, 75 ANAK POKOK DI TAMAN NEGARA GUNUNG LEDANG

PARA peserta menunjukkan tanda bagus selepas menanam pokok sempena program menanam pokok dan melepaskan benih ikan anjuran PLUS di Taman Negara Gunung Ledang dekat Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 21 Nov. - Sebanyak 75 batang pokok ditanam dan 1,000 benih ikan dilepaskan di Taman Negara Gunung Ledang menerusi program sosial korporat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di taman negara berkenaan baru-baru ini.
 
Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Taman Negara Gunung Ledang sempena PLUS Community Day yang diadakan serentak di seluruh negara.
 
Ketua Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, Ahmad Fuad Shahimi berkata, menerusi program selama dua hari itu, PLUS Seksyen Selatan memilih sendiri program konservasi penanaman pokok dan pelepasan ikan di taman negara berkenaan.
 
Beliau berkata, sebanyak 90 kakitangan syarikat bersama pihak Taman Negara Gunung Ledang menyertai program berkenaan dengan membawa sendiri pelbagai jenis pokok, ikan serta kelengkapan lain untuk melaksanakan program yang julung kali diadakan itu.
 
"Kita mengadakan program ini selama dua hari dan menanam 50 batang pokok di sekitar kawasan Kolam Gajah manakala 25 lagi kita tanam di Bukit Botak sebagai simbolik 25 tahun penubuhan PLUS," katanya ketika ditemui pemberita dalam program itu.
 
Ahmad Fuad berkata, pihaknya bersama renjer taman negara juga melepaskan sebanyak 1,000 benih ikan lampam sungai di Kolam Mahligai bagi membiakkan spesies berkenaan yang hampir pupus di situ.
 
Katanya, program berkenaan amat sesuai dilakukan memandangkan kepentingan alam sekitar yang semakin dilupakan oleh masyarakat masa kini.
 
Sementara itu, Pengurus Taman Negara Johor Gunung Ledang, Ilyas Razak berharap, kerjasama sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan alam sekitar serta kepelbagaian flora dan fauna di kawasan berkenaan dapat dipelihara.
 
Katanya, PLUS turut menyalurkan bantuan sejumlah RM12,000 yang digunakan untuk membeli 500 pokok pelbagai jenis, 1,000 benih ikan serta membina tapak semaian di situ.
 
"Kita berharap program seperti ini tidak terhenti begitu saja dan syarikat korporat lain dapat bersama-sama kita menjaga alam sekitar terutama di kawasan taman negara seperti ini," katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: