PENGUNJUNG SETIA

20 November 2013

SASAR PENURUNAN 10 PERATUS REMAJA BAWAH UMUR MEROKOK

LEDANG 19 Nov. - Kelab Penolong Pegawai Perubatan Johor (Jamoc) menyasarkan penurunan sebanyak 10 peratus perokok dalam kalangan remaja bawah umur terutama pelajar sekolah menerusi kempen 'No Smoking Love Your Child'.
 
Pengerusinya, Yahaya Jaafar berkata, kajian dan statistik terkini mendapati sebanyak 20 hingga 30 peratus perokok terdiri daripada kalangan pelajar sekolah yang melakukan perbuatan tersebut tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
 
"Selain golongan tersebut, sasaran utama kempen ini yang julung kalinya dilakukan melalui cara Konvoi Kesihatan dari Johor Bahru ke daerah ini ialah perokok tegar dan ibu bapa yang masih tidak dapat menghentikan tabiat itu.
 
"Melalui kempen ini, kami berharap masyarakat menyedari keburukan akibat tabiat merokok seterusnya mendorong mereka berhenti merokok," katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian program menyambut Konvoi Kesihatan Jamoc di pekarangan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, dekat sini kelmarin.
 
Perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri.
 
Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Zaharah Mohd. Salleh dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Othman A. Kadir.
 
Mengenai konvoi tersebut, Yahaya berkata, aktiviti itu merupakan kesinambungan kepada kempen 'Tak Nak' dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berhenti merokok selain berharap Johor bebas daripada asap rokok.
 
Menurutnya, lebih 20 kenderaan terlibat menjalankan kempen itu dan semasa perjalanan ke Ledang, mereka singgah di Kawasan Rehat dan Rawat Machap dan Pagoh untuk mengagihkan risalah mengenai bahaya dan kesan akibat merokok kepada orang ramai.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: