6 kediaman terjejas akibat banjir kilat
Razak meredah banjir kilat yang berlaku di Kampung Tok Karim, Tanjung Gading, Kesang, semalam. 
 
LEDANG - Enam kediaman terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam di Kampung Tok Karim, Tanjung Gading, Kesang, dekat sini, semalam.

Hujan bermula kelmarin itu mengakibatkan kawasan berkenaan yang terkenal dengan kedudukan rendah dilimpahi air setinggi hampir 0.5 meter.

Adun Serom, Razak Minhat berkata, kampung berkenaan dilanda banjir dua kali setahun dikenal pasti berpunca daripada masalah perparitan.

“Kita akan selenggara sistem perparitan, membesarkan dan mendalamkan parit di Parit Ponorogo, Parit Rawang, Parit Karang Barat dan Parit Tok Karim.

“Langkah ini untuk melancarkan aliran air masuk ke Sungai Muar dan Sungai Kesang yang ketika ini tersekat setiap kali hujan lebat,” katanya ketika melawat mangsa banjir di kawasan terlibat, di sini semalam.

Turut hadir, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang, Rosly Aiman; Penghulu Mukim Kesang, Abdul Majib Mistam; Ketua Kampung Tanjung Gading Barat, Jaafar Mohd Salleh dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Sahrihan Jani.

Razak berkata, perbincangan bersama antara JPS dan Pejabat Daerah Ledang sudah dibuat, malah kerja-kerja berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kejadian yang melibatkan 30 penduduk membabitkan kerugian awal dianggarkan RM6,000 kerana terdapat beberapa perkakas rumah dan perabot rosak terkena air.

“Buat masa ini, mangsa tinggal sementara di rumah keluarga terdekat, jika keadaan bertambah buruk mereka akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Gading untuk keselamatan,” katanya.

Katanya, terdapat 10 kediaman lagi di kawasan berdekatan dengan kira-kira 50 penduduk turut diberi perhatian kerana berpotensi dilanda banjir.

“Saya meminta mereka bersiap sedia dengan kemungkinan bencana berlaku memandangkan cuaca tidak menentu kebelakangan ini,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu sumber pendapatan penduduk setempat turut terjejas apabila kebun-kebun sawit seluas kira-kira 16.8 hektar turut ditenggelami air.

“Ini membabitkan kerugian hampir RM24,000 apabila kira-kira 20 hingga 30 pengusaha kebun sawit tidak dapat memetik hasil dalam tempoh bencana ini,” katanya.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 07 NOVEMBER 2013