PENGUNJUNG SETIA

23 November 2013

PERTUKARAN CUTI TAK JEJAS EKONOMI

Khaled Nordin
Khaled Nordin
 
MUAR - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yakin pertukaran cuti hujung minggu dari hari Sabtu dan Ahad ke Jumaat dan Sabtu di negeri ini bermula awal tahun depan tidak akan memberi kesan besar terhadap ekonomi Johor.
Mohamed Khaled berkata mereka yang bercuti pada hari Ahad mempunyai ruang untuk berurusan dengan kerajaan negeri kerana hari tersebut adalah hari bekerja bagi kakitangan kerajaan negeri.
"Saya tidak fikir dalam keadaan kepesatan teknologi pada masa ini, pertukaran cuti hujung minggu ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negeri.
"Lagipun sebelum ini Johor pernah melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu sebelum 1994," katanya selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pada ketika itu, syarikat swasta boleh memilih sama ada ingin mengikut kerajaan negeri ataupun bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.
"Begitu juga kali ini, terpulang kepada mereka sama ada hendak ikut sama seperti kerajaan negeri," katanya.
Mengenai kesannya kepada sekolah di negeri ini, Mohamed Khaled berkata dengan pelaksanaan cuti hujung minggu yang baru, pelajar sekolah tidak lagi perlu tergesa-gesa untuk menunaikan Solat Jumaat.
Sultan Johor ketika mengumumkan pertukaran hari cuti hujung minggu itu pada majlis tersebut bertitah, langkah itu sebagai menghormati hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari selain memberi peluang kepada umat Islam untuk memperbanyakkan amalan.
Pada majlis itu Mohamed Khaled turut dikurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, Mufti Kerajaan Johor, Datuk Tahrir Datuk Shamsudin berkata langkah tersebut bertepatan dengan agama Islam yang menjadikan Jumaat sebagai penghulu segala hari.
"Dengan perubahan ini, umat Islam mempunyai lebih masa untuk bersiap dan kaum bapa juga dapat membawa anak-anak untuk sama-sama menunaikan Solat Jumaat,"katanya.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut berkata cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu amat baik bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadat dengan tenang dengan memulakan amalan seperti bacaan Surah Yasin dan tahlil pada malam Jumaat.
Beliau berkata sebagai negeri yang berpengalaman cuti pada Jumaat dan Sabtu sebelum tahun 1994, beliau yakin perubahan terbabit tidak memberi kesan kepada masyarakat dan pentadbiran negeri.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) Datuk Ismail Ibrahim pula berkata pelaburan di kawasan berkenaan akan berlangsung seperti biasa dan pihaknya akan meningkatkan sistem perkhidmatan supaya berjalan lancar buat pelabur dan bakal pelabur.
"Kami pasti akan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelaraskan semua agensi-agensi di peringkat persekutuan dan juga komuniti perniagaan. Setakat ini, kita tidak melihat apa-apa gangguan kepada perkhidmatan mahupun cadangan pelaburan di Iskandar Malaysia berhubung perubahan cuti itu," katanya.

Pengurus Komunikasi Hotel Traders Puteri Harbour, Nusajaya, Aidah Abd Rahman pula berkata pihaknya yakin waktu bekerja pada Ahad dapat meningkatkan tahap perkhidmatan industri pelancongan di negeri ini yang sentiasa sibuk pada hari berkenaan.
"Pihak hotel amat menyambut baik titah tuanku untuk mengembalikan semula cuti pada Jumaat dan Sabtu. Sesungguhnya ini merupakan berita gembira bagi pelancong asing khususnya rakyat Singapura yang saban minggu berkunjung ke negeri ini kerana mereka akan menikmati perkhidmatan penuh di hotel pada setiap Ahad," katanya. - Foto Bernama
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 23 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: