TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2013

RM200,000 NAIK TARAF JETI SEROM PANGGUNG

ABD. Razak Minhat (kiri) menunjukkan lokasi pembinaan jeti baharu nelayan di Kampung Belemang dekat Serom 4, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 11 Okt. - Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM200,000 untuk menaik taraf Jeti Serom Panggung di Serom 4, dekat sini pada tahun depan bertujuan membina kemudahan asas selain menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan pusat ekonomi setempat.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, kemudahan yang disediakan termasuk tandas, surau, kedai makanan dan menjual hasil kampung, kedai rakyat, kedai gunting rambut serta mengecat jeti sedia ada untuk bot-bot pelancong berlabuh.
 
"Selain itu, kita akan bina semula pangkalan perahu untuk kira-kira 80 nelayan sungai di Serom yang ketika ini sudah rosak dan tenggelam. Kita akan jadikan jeti ini sebagai tempat untuk nelayan dan petani setempat menjual hasil mereka.
 
"Bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sini, kita akan bawa ikan-ikan segar dari Kesang Laut. Ketika ini jeti ini hanya dijadikan tempat memancing dan kawasan rekreasi oleh penduduk setempat," katanya ditemui selepas melawat jeti itu di sini hari ini.
 
Pihaknya juga merancang membina laluan atau titian kayu di atas air bagi pejalan kaki selain menaik taraf jalan ke jeti itu yang boleh menghubungkan Gersik, Bukit Gambir dan Tanjung Agas.
 
"Pengunjung boleh melihat pemandangan sungai dengan di kiri kanannya terdapat pokok nipah dan marabang. Keistimewaan jeti ini ialah merupakan kawasan pertembungan antara air laut dan air sungai. Kawasan ini merupakan air payau.
 
"Selain itu, ikan tapah juga banyak terdapat di sini yang biasa hidup di kawasan air payau dan juga banyak udang galah. Sasaran kita bukan sahaja kaki pancing tetapi juga pengunjung atau pelancong luar," katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: