PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2013

TIDAK BOLEH TUKAR STATUS TANAH

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my


ISMAIL Mohamed (kanan) menyerahkan bantuan pertanian kepada seorang penerima dalam majlis perasmian Pelaksanaan Kaedah Padi SRI Lot Sawah Kesang Tasek, Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 11 Okt. - Kerajaan negeri tidak akan meluluskan permohonan menukar status tanah daripada tanaman padi kepada tanaman kelapa sawit bagi memastikan kawasan sawah sedia ada terus diusahakan, selain mahu lebih banyak kawasan baharu dibuka untuk tujuan itu.
 
Pengerusi JawatankuasaPertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, pihaknya juga mahu mereka yang sudah atau baru sahaja menukar status tersebut supaya kembali kepada tanaman padi untuk menambah pengeluaran hasil beras negeri.
 
"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang perkara ini iaitu tidak menukar status tanah tanaman padi kepada kelapa sawit dan beliau bersetuju.
 
"Kita tidak bersetuju status tanah ditukar kerana mahu kawal dan jadikan sawah sedia ada sebagai taman kekal pengeluaran makanan untuk Johor, jadi simpanan sumber makanan," katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Petak Percubaan Pengurusan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) Tanaman Padi MRQ 74 dan Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Muar/Ledang di Kesang Tasek di sini semalam.
 
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Mustapha Omar dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi.
 
Sebelum ini, beberapa kawasan sawah di negeri ini ditukar statusnya terutama di Sungai Balang, Muar yang kini tinggal hanya 63 hektar untuk tanaman padi berbanding suatu ketika dahulu menjadi antara penyumbang terbesar beras di negeri ini.
 
Ketika ini terdapat kira-kira 1,531 hektar kawasan sawah padi di sembilan kawasan di negeri ini, antaranya Mersing, Muar, Kluang dan Batu Pahat dan selebihnya di daerah ini iaitu di Kesang Tasik, Kesang Gate, Pulau Penarik, Teluk Rimba dan Sawah Ring.
 
Ismail berkata, pihaknya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan produktiviti beras di negeri ini dan salah satunya dengan memperkenalkan jenis baharu padi MRQ 74 dengan kaedah penanaman SRI.
 
Mengenai kaedah menanam benih padi MRQ 74 yang ketika ini ditanam secara manual, beliau berkata, masalah itu akan diatasi dengan penggunaan teknologi pembenihan yang akan dapat melakukan kerja-kerja menanam secara cepat dan dalam jumlah banyak.
 
Katanya, tidak seperti benih padi biasanya terus ditabur di kawasan sawah, MRQ 74 perlu disemai terlebih dahulu sebelum dipindahkan dalam usia pokoknya yang masih muda dengan jarak ditanam lebih 25 sentimeter antara satu sama lain.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: