TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Oktober 2013

IMPIAN MILIKI RUMAH SENDIRI TERCAPAI

LEDANG 7 Okt. - Impian seorang bekas tentera untuk memiliki kediaman sendiri tercapai apabila dipilih sebagai penerima bantuan rumah menerusi program 1Malaysia Baikpulih Rumah Veteran Tentera oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) negeri.

Pembinaan rumah Latimin Kasiro oleh 11 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Mahkota Kluang di Lorong 5, Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir dekat sini dengan kos RM45,000 itu bermula 28 Ogos lalu dan dijadual siap pada 20 Oktober ini.

"Saya amat gembira menerima rezeki tidak dijangka ini, sekali gus mengakhiri penantian lebih 20 tahun untuk menyediakan rumah yang selesa buat keluarga saya," katanya ketika ditemui semasa lawatan Pegawai Rejimen Jurutera 3 Divisyen Kem Mahkota Kluang, Mejar Surihan Md. Lani dan Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais di rumahnya hari ini.

Bapa kepada lima anak berusia antara tiga hingga 13 tahun itu berkata, rumah tersebut dibina atas tanah pusaka miliknya berhampiran tapak rumahnya yang terbengkalai enam tahun lalu.

"Sekarang saya menyewa berdekatan dengan rumah ini dengan kadar RM150 sebulan. Sejak berhenti tentera, saya tidak ada pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja kampung untuk sara keluarga.

"Rumah lama dibina dengan guna sebahagian daripada wang pampasan ketika berhenti tentera tetapi kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan kerana masalah kewangan," katanya.

Sebelum ini dia sering runsing memikirkan penyelesaian untuk menyiapkan rumah terbengkalai itu, namun beban ditanggungnya sedikit berkurangan apabila mendapat bantuan rumah tersebut.

Latimin berkata, dia mengetahui tawaran bantuan itu ketika mengikuti kursus keusahawanan anjuran PBTM di Kompleks Sri Pekembar, Pagoh, pada November lalu dan berterima kasih atas keprihatinan pihak terbabit kerana membantunya.

Dia yang merupakan pesara tentera tidak berpencen menamatkan perkhidmatan terakhirnya yang berpangkat sarjan di Kem Mahkota Kluang selepas 18 tahun menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1999.

"Saya terpaksa berhenti kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga apabila mendapat arahan berpindah bertugas ke Sibu, Sarawak, meskipun tempoh bersara hanya tinggal tiga tahun.

"Saya akui kadang-kadang rasa menyesal dengan tindakan tersebut tetapi apa yang saya lakukan adalah pengorbanan untuk keluarga," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: