LEDANG 25 Mei - SME Bank melaksanakan tanggungjawab korporat (CSR)
dengan menaja kemudahan Tutor Online kepada 100 pelajar daripada tiga
buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dalam Parlimen Ledang.
Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus
berkata, penajaan itu selaras dengan perkembangan dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan besar ke atas sistem
pendidikan negara.
Dalam mengharungi era globalisasi pelajar tidak boleh ketinggalan
mempelajari dan meningkatkan diri dengan teknologi terkini termasuk
bidang ICT, penggunaan kaedah e-learning kini menjadi lumrah di sekolah
dan institusi pengajian tinggi. Berdasarkan faktor ini, SME Bank
berbesar hati menaja Tutor Online kepada tiga buah sekolah di sini.
Tutor Online adalah program pembelajaran dalam talian yang
membolehkan pelajar mendapat akses kepada nota pelajaran yang dikongsi
secara dalam talian," katanya berucap dalam Majlis Penyampaian
Sumbangan Tutor Online SME Bank kepada tiga buah Sekolah Menengah Agama
(SMA) dalam Parlimen Ledang di Dewan Syed Idrus Al-Habshi, SMA Lughatul
Quran, Kesang Tasek, di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri
Pengerusi Eksekutif Perfisio Solutions Sdn. Bhd.; Datuk Abu Hanipah
Pandak Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat
dan Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin.
Dalam majlis itu, SMA Lughatul Quran, Kesang Tasek; SMA Lughatil
Arabiah, Tangkak dan SMA Darul Ulum, Serom 4 menerima kemudahan Tutor
Online tersebut.
Mohd. Radzif berkata, menerusi kemudahan aplikasi berbentuk
interaktif itu, pelajar membuat penilaian kendiri dan menentukan tahap
pembelajaran berdasarkan kemampuan masing-masing.
Katanya, SME Bank berharap pelajar yang menerima kemudahan itu dapat
menggunakannya sebaik mungkin untuk meningkatkan pencapaian akademik
masing-masing dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian
sekolah.
Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang memuji langkah
SME Bank menaja kemudahan Tutor Online kepada tiga buah sekolah menengah
agama sebagai permulaan menjadikan Ledang maju ke hadapan dalam
pendidikan malah diharap dapat melahirkan golongan terpelajar yang mahir
dalam agama.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2014