PENGUNJUNG SETIA

23 Mei 2014

POLIS TUMPASKAN KUMPULAN PECAH RUMAH, SEKOLAH

LEDANG 22 Mei - Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan pecah sekolah dan rumah apabila mereka ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Muar-Tangkak, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 48 tahun serta seorang warga Thailand berumur 39 tahun ditahan dalam serbuan Op Cantas Khas.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis merampas satu enjin motosikal; lapan telefon bimbit pelbagai jenama; satu komputer riba jenis Acer dan Dell serta satu monitor jenis Acer dan Dell.

"Selain itu, kami turut menemui satu peket mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.63 gram di rumah berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Salleh, hasil siasatan, suspek mengaku melakukan lebih daripada satu kes pecah bangunan dan kumpulan tersebut berjaya dijejaki hasil maklumat orang awam serta berdasarkan satu laporan polis tentang kes pecah sekolah.

Katanya, kes itu dilaporkan pada 12 Mei tahun lalu, apabila seorang kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kampung Parit 3, Sagil di sini, membuat laporan polis tentang kehilangan beberapa barangan seperti komputer riba dan monitor bernilai lebih RM10,000.

Mohamed Salleh berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya memberkas kesemua mereka di rumah tersebut.

Mengenai lelaki Thailand itu, pemeriksaan mendapati, suspek masuk ke negara ini menggunakan dokumen perjalanan sah namun tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan dan didapati positif dadah jenis heroin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MEI 2014


Tiada ulasan: