TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mei 2014

LEDANG DIISYTIHAR DESTINASI PELANCONGAN BAHARU 2015

HAMIM Samuri (kanan) melepaskan peserta Johor International Gunung Ledang MTB Ride 2014 di Dataran Ledang dekat Tangkak,Johor, baru-baru ini.

LEDANG 5 Mei - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengisytihar Ledang sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di negeri ini tahun depan bagi memperkenal keistimewaannya yang tidak terdapat di tempat lain.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, daerah ini menawarkan pelbagai produk pelancongan yang berasaskan alam semulajadi contohnya Gunung Ledang selain budaya dan makanan tradisi tempatan.

"Selain produk pelancongan sedia ada, penambahan produk baharu juga mesti ditonjolkan contohnya permainan kemplingan iaitu persembahan muzik masyarakat Jawa Ledang, masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Begitu juga inap desa mesti disediakan. Ini semua dapat dapat menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke daerah ini," katanya ketika ditemui dalam program Johor International Gunung Ledang MTB Ride 2014 di Dataran Ledang, di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Johor, Mohammad Isa Abdul Halim; Pengurus SK Event Pro Bike Management, Datin Sofea Karmila dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, apabila kehadiran pelancong bertambah, secara langsung turut meningkatkan ekonomi pengusaha industri pelancongan dan penduduk tempatan.

Hamim berkata, seperti juga program tersebut, penganjurannya memberi banyak manfaat kepada hotel dan inap desa selain perniagaan makanan, pengusaha produk pelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, Mohammad Isa berkata, program itu bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan pertandingan kayuhan basikal lasak itu dapat memberi peluang kepada peminat sukan lasak itu melalui pengamalan baharu di sini.

"Secara tidak langsung acara ini menjadi pencetus memperkenalkan inap desa dikenali sebagai Homestay Ledang yang diiktiraf pihak kementerian Mac lalu," katanya dan memberitahu program anjuran pihaknya dengan kerjasama SK Event Pro Bike Management disertai 650 peserta dalam dan luar negara.

Mohammad Isa berkata, peserta tempatan serta dari Australia, Indonesia dan Singapura dilepaskan dari Dataran Ledang menuju ke Taman Negara Gunung Ledang melalui trek yang mencabar termasuk ladang sawit dan getah sebelum berpatah balik ke Dataran Ledang sejauh 40 kilometer.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 MEI 2014

Tiada ulasan: