PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2014

LEDANG SUSUN SEMULA PUSAT PENTADBIRAN

Ledang: Kerajaan negeri akan membina kompleks pentadbiran daerah yang baharu bagi daerah ini, selain memperbanyakkan rumah mampu milik serta memajukan lagi industri pelancongan, perabot dan pertanian.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perancangan itu membabitkan proses transformasi yang dimulakan dengan penyusunan semula pusat pentadbiran daerah.

Katanya, kos pembangunan pusat pentadbiran baharu itu akan dimuktamadkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) dan pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

"Pusat pentadbiran itu akan menempatkan Kompleks Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah terlebih dahulu bagi fasa pertama. Pembinaan kompleks itu adalah perlu kerana hanya Ledang belum mempunyai bangunan pentadbiran sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah, Penyerahan Bantuan Bina dan Baik Pulih Rumah Bagi Peruntukan Menteri Besar dan Penyampaian Sijil Inap Desa di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil, dekat sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, turut hadir dalam program itu.

Lonjak sektor pelancongan

Mohamed Khaled berkata, satu pelan pembangunan menerusi Jabatan Pelancongan negeri akan disediakan bagi mengeksploitasi sumber terutama di Gunung Ledang dan Pulau Penarik bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri turut mengeluarkan sijil kepada pengusaha inap desa di Sagil bagi mewujudkan satu rangkaian perniagaan, sekali gus menyokong usaha membangunkan destinasi pelancongan di daerah ini.

"Bagi mengembangkan lagi industri perkayuan dan perabot, kerajaan merancang membina Pusat Pameran Perabot Antarabangsa. Kita juga mahu mewujudkan satu kawasan perindustrian berasaskan kayu dan perabot di daerah ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga meluluskan kawasan 80 hektar di daerah ini bagi pembinaan 2,500 rumah mampu milik.

Katanya, pembinaan rumah itu akan difokuskan di luar Tangkak yang merangkumi terutama di Sagil dan Bukit Gambir bagi memenuhi keperluan penduduk kerana sebelum ini projek berkenaan tertumpu di bandar dan pinggir bandar.

SUMBER: BH, 21 MEI 2014

Tiada ulasan: