PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2014

MITI CARI JALAN 'SEGARKAN' SEKTOR PERKILANGAN DI LEDANG

LEDANG 20 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mencari jalan bagi ‘menyegarkan’ semula sektor perkilangan dan industri di daerah ini yang semakin malap dan mungkin lumpuh jika tidak diselamatkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara punca utama kerana para pengusaha tidak lagi mendapat insentif daripada kerajaan sehingga merencatkan produktiviti mereka.

“Tinggal beberapa kilang sahaja yang masih bertahan. MITI kini berusaha mencari jalan menerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) untuk menghidupkan semula sektor industri di Ledang yang malap.

“Ini kerana sektor industri sebelum ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Ledang," katanya dalam Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah, Penyerahan Bantuan Bina dan Baik Pulih Rumah Bagi Peruntukan Menteri Besar dan Penyampaian Sijil Inap Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, bagi membantu menghidupkan semula sektor tersebut, Kolej Komuniti Ledang, Kolej Matrikulasi Ledang, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk melatih sumber manusia yang berkemahiran.

Selain tumpuan terhadap sektor industri dan pertanian, beliau berkata, pihaknya juga memberi fokus untuk membangunkan lagi sektor pelancongan yang ketika ini mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri.

“Untuk itu kita minta pegawai daerah, semua ketua jabatan dan ketua kampung untuk melakukan transformasi Ledang sebagai sebuah destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan memanfaatkan segala sumber yang ada seperti kraf tangan, inap desa dan produk industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mengakui lawatan kerjanya ke Ledang begitu nostalgik kerana pernah bersekolah di sini sehingga tamat darjah enam sambil menegaskan adalah penting bagi masyarakat di peringkat akar umbi memahami dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, pembangunan daerah-daerah di bahagian utara negeri ini seperti Ledang tidak serancak di selatan contohnya di Iskandar Malaysia, Johor Bahru atau Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Kota Tinggi.

“Namun begitu, kerajaan negeri akan usahakan untuk membawa manfaat di Iskandar Malaysia dan Rapid untuk sama-sama dirasai di utara Johor supaya tidak ada daerah yang tercicir, selain dapat duduk sama tinggi dan rendah dengan daerah lain," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014


Tiada ulasan: