TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2014

MDT BERI PERINGATAN KEDAI DI TAPAK HARAM TETAP DIROBOHKAN

LEDANG 20 Mei - Majlis Daerah Tangkak (MDT) menolak rayuan peniaga buah-buahan di Batu 5 œ Kampung Rawang, Sungai Mati dekat sini supaya tidak merobohkan kedainya sebaliknya tindakan itu akan diteruskan selepas November ini.

Setiausaha MDT, Sulaiman Ismail berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk peniaga itu mencari tapak baharu supaya urusan pemindahan kedai dapat dilakukan dan notis sudah pun diserahkan kepada pemiliknya.

“Penguatkuasaan untuk merobohkan kedai buah-buahan itu adalah kerana kesalahannya berniaga di atas rizab jalan dan juga tidak mendapat kelulusan Lesen Pendudukan Sementara(LPS) dari Pejabat Tanah Ledang.

“Tindakan ini bukan bermaksud pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membela nasib peniaga-peniaga kecil terutama Melayu, tetapi ini lebih tertumpu kepada aspek keselamatan dan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 April lalu, pemilik gerai buah-buahan, Idris Jaafar, 54, merayu MDT supaya tidak merobohkan kedainya kerana menjadi tempat pemasaran untuk hasil pertanian serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) daerah ini.

Idris yang mendakwa sudah 13 tahun berniaga di situ menjual 30 jenis buah-buahan, tanaman kontan serta produk IKS dari kawasan berdekatan dan masalah itu juga mendapat perhatian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri.

Sulaiman dalam penjelasan lanjut berkata, kedai tersebut harus dirobohkan kerana sudah beberapa kali berlaku kemalangan apabila kenderaan terbabas ke dalam gerai kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan jalan raya dan tindakan yang diambil MDT adalah satu keperluan dan wajar.

“Secara tidak langsung juga, MDT juga dapat menghindarkan kebarangkalian dipersalahkan sekiranya disaman oleh pihak terbabit dalam kemalangan yang sudah tentunya dari duit pembayar cukai," katanya.

Katanya, MDT amat bertimbang rasa kepada peniaga contohnya peniaga-peniaga kupang sepanjang jalan tersebut diberi kebenaran berniaga dengan syarat gerai harus berada atas tanah persendirian dan belakang parit malah turut menyediakan pedati baharu kepada mereka bagi menunjukkan keseragaman.

Justeru, MDT berharap peniaga-peniaga tidak menyalahkan pihaknya dan mereka perlu faham tujuan sesuatu tindakan dilakukan adalah untuk memastikan mereka berniaga dalam keadaan selamat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014


Tiada ulasan: