PENGUNJUNG SETIA

02 Mei 2014

KADET POLIS, KELAB PENCEGAHAN JENAYAH TANGANI JENAYAH DI SEKOLAH

MOHAMED Salleh Abd. Razak (depan, tujuh dari kanan) bersama para pegawai anggota kadet pada Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Kali Ke-44 Peringkat Daerah di SMK Ledang dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 1 Mei - Penubuhan Pasukan Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah di peringkat sekolah merupakan satu mekanisme yang mampu menangani permasalahan jenayah dalam kalangan pelajar di daerah ini melalui pendekatan memantau dan menyalurkan maklumat sebagai langkah awal pencegahan gejala negatif.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, antara peranan yang boleh dimainkan pasukan beruniform itu adalah membimbing rakan-rakan dan membantu mengenal pasti rakan bermasalah serta melaporkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

"Selain itu Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah perlu diaktifkan dengan kerjasama Pegawai Perhubungan Sekolah yang diwakili pihak polis. Pegawai itu diarahkan untuk melawat dan memberi bantuan kepada pihak sekolah dengan kerjasama guru selain merancang program pencegahan jenayah dan motivasi.

"Saya percaya komunikasi dan kerjasama erat polis dan pihak sekolah, termasuk ibu bapa dan pelajar, sebarang kegiatan jenayah dapat dibendung dengan berkesan dalam suasana harmoni," katanya ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis kali ke-44 peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang di sini kelmarin.

Kira-kira 200 anggota Pasukan Kadet Polis dari 13 buah sekolah menengah di sekitar daerah ini menerima sijil, surat penghargaan dan pemakaian pangkat yang sempurnakan oleh Mohamed Salleh.

Mohamed Salleh dalam pada itu turut meminta pihak sekolah agar memantapkan disiplin bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah atau memukul pelajar lain.

Katanya, jika berlaku pihak sekolah perlu mengambil tindakan setimpal dengan kesalahan dan ibu bapa yang terlibat juga perlu dibawa dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian segera.

"Remaja juga perlu bijak memilih kawan dan tidak bergaul dengan rakan-rakan yang boleh menjerumuskan mereka ke arah kehancuran atau keruntuhan ahkhlak di samping ibu bapa perlu memainkan peranan.

"Ibu bapa hendaklah memberikan perhatian lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mesti diterapkan supaya dapat membezakan yang baik dan buruk," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 MEI 2014

Tiada ulasan: