PENGUNJUNG SETIA

10 Mei 2014

GST TAK BEBAN PENIAGA RUNCIT

Oleh Ibrahim Isa


Ledang: Semua peniaga runcit di negara ini tidak akan terbeban apabila kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunakan ketika ini.

Kerajaan sudah menjalankan kajian sebelum melaksanakannya bertujuan menjaga kepentingan semua pihak, terutama peniaga runcit dan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri (gambar) berkata, GST adalah transformasi sistem cukai negara kerana sebelum ini sebahagian besar barang yang dijual di Malaysia dikenakan SST.

"Untuk makluman, semua pihak iaitu pengilang, pengedar dan peniaga ada tanggungjawab untuk membayar cukai.

"Bagaimanapun menerusi GST peniaga tidak perlu membayar cukai yang sepatutnya dikenakan kepada pengedar dan pengilang.

"Perubahan ini tidak akan merugikan peniaga kerana selama ini mereka sudah membayar SST," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Terengganu) Ahmad Izani Abdul Ghani yang menyatakan peniaga dikhuatiri berdepan kerugian sekiranya kuasa beli pengguna berkurangan disebabkan GST.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat di Pejabat UMNO Bahagian Ledang, Tangkak, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan GST dapat mengesan cubaan mengelak membayar cukai penuh oleh segelintir pengilang dan pembekal.

"Peniaga kecil dengan jumlah perniagaan tahunan tidak melebihi RM500,000 setahun akan dikecualikan daripada membayar GST dengan syarat mereka perlu melaporkan rekod jualan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

"Kami kini berusaha memberi penerangan berhubung GST bermula di peringkat pimpinan UMNO termasuk sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 MEI 2014

Tiada ulasan: