Pembangkang sebar persepsi buruk GST

Hamim menyampaikan bantuan kepada salah seorang daripada 12 penerima pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo dekat Parit Bunga, semalam.
LEDANG - Kerajaan sedang berusaha menangani pelbagai persepsi buruk yang dilakukan pembangkang bagi menghasut rakyat supaya membenci dan menolak apa sahaja perubahan dilakukan kepimpinan  demi kebaikan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, cabaran terbesar buat masa ini adalah berkaitan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan.

Menurutnya, kerajaan mendapat tekanan daripada pembangkang yang secara terbuka menolak cadangan itu malah menyebarkan maklumat tidak tepat dan mempengaruhi rakyat.

Jelasnya, GST untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini untuk mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

“Pada masa yang sama menjaga kepentingan rakyat dengan jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak naik.

“Kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada rakyat dan GST adalah sistem percukaian terbaik berdasarkan kajian dilakukan terhadap lebih 140 negara dunia yang terlebih dahulu melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo, dekat Parit Bunga, di sini, semalam.

Hamim turut memberitahu, terdapat tiga kategori barangan dan perkhidmatan yang termasuk dalam GST.

“Kategori pertama, dikecualikan daripada membayar cukai GST iaitu buku, ubat-ubatan dan syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000. Kedua, barangan dalam senarai GST, tetapi kadarnya kosong peratus iaitu barangan keperluan harian yang beratus senarainya seperti beras, minyak masak dan tepung.

“Manakala ketiga, berkadar enam peratus yang dikenakan ke atas barangan lain seperti beg tangan, kasut dan baju,” katanya.

Katanya lagi, rakyat sebenarnya sudah membayar cukai ketika membeli barang yang dikenakan peniaga, pembekal dan pengilang yang dinamakan cukai terselindung.

Tegasnya, sedangkan membayar cukai secara terus kepada kerajaan bukan tanggungjawab pembeli (rakyat).

Hamim berkata, dianggarkan sebanyak RM8 bilion setahun cukai tidak dikutip daripada ramai peniaga, pembekal dan pengilang yang mengelak membayar melalui sistem cukai perkhidmatan (SST).

“GST dapat mengatasi kelemahan STT dengan menghapuskan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 MEI 2014