TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2014

ECONSAVE MUAR TAWAR KERJA KEPADA ANAK SAMSI

Lim Wet Khung (duduk, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Samsi M. Lazim yang terlantar akibat serangan angin ahmar dan sakit jantung di Kampung Kesang Laut, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 21 Mei - Penderitaan seorang bekas pemandu lori, Samsi M. Lazim, 48, bersama keluarganya selepas diserang angin ahmar, sakit jantung dan kini hanya terlantar terus mendapat perhatian Pasaraya Econsave Muar.

Pengurus Operasi Zon Selatan II Econsave, Lim Wet Khung yang ditemani Pengurus Econsave Muar, Aw Wee Siang dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang, Ab. Gani Ab. Bakar hari ini bukan sahaja menyampaikan sumbangan, malah menawarkan kerja kepada anak Samsi semasa melawat keluarga tersebut di Kampung Kesang Laut di sini.

Melihat sendiri keadaan keluarga Samsi, Wet Chung terus membuat keputusan menawarkan kerja kepada anaknya, Nazatul Alia, 21, yang ketika ini bekerja sambilan di sebuah pasar raya di Tanjung Agas.

Lebih menyedihkan, pendapatan Nazatul Alia tidak menentu menyukarkannya membantu keluarga yang dihimpit kesusahan sejak bapanya sakit dan tawaran itu sebagai pertolongan bagi jangka masa panjang selepas pihaknya memberikan sumbangan sebelum ini.

"Kami juga tidak keberatan menerima seorang lagi anak Samsi iaitu Ismail, 19, penuntut sebuah kolej di ibu negara yang kini sedang menjalani latihan praktikal untuk bekerja di Econsave selepas tamat pengajiannya nanti.

"Kami amat tersentuh apabila membaca laporan tentang kesusahan Samsi dalam akhbar yang mempunyai tujuh anak berusia enam hingga 21 tahun dengan lima daripadanya masih bersekolah," katanya.

Pada 17 Mei lalu, Utusan Malaysia menyiarkan penderitaan keluarga Samsi yang tidak boleh bergerak dan bercakap serta memerlukan kira-kira RM1,500 untuk membeli susu dan lampin pakai buang kegunaannya.

Isterinya, Rohaya Dol, 47, mengambil tugasnya mencari rezeki tetapi agak terbatas kerana terpaksa menjaga suaminya itu dan hanya mampu mengambil upah membuat peralatan sembahyang di Jalan Bakariah dengan pendapatan RM200 sebulan.

Sementara itu, Ab. Gani berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Econsave untuk membantu dan memastikan keluarga miskin di sini yang benar-benar memerlukan mendapat bantuan seperti Samsi.

"Samsi menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM400, bantuan JKM (RM450) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2007," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 MEI 2014


Tiada ulasan: