PENGUNJUNG SETIA

05 Mei 2009

50 TAHUN GUNA AIR HUJAN, PERIGI

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@bharian.com.my

Penduduk Jalan Devis, Kampung Baru Gerisik masih tunggu janji dapat paip

MUAR: Penduduk di Jalan Devis, Kampung Baru Gerisik, dekat sini, meminta kerajaan dan pihak berkaitan supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air yang gagal mereka peroleh sejak lebih 50 tahun lalu.

Seorang penduduk, Ng Ah Baa, 67, berkata beliau hairan mengapa kawasan berkenaan masih gagal mendapatkan bekalan air bersih walaupun, sebelum ini, ramai pihak yang berjanji akan mendapatkannya.

"Usia saya sudah 67 tahun tetapi rumah yang didiami lebih 50 tahun masih lagi belum mempunyai bekalan air sebaliknya terus bergantung dengan air perigi," katanya ketika ditemui di sini.

Rumahnya antara lapan kediaman di jalan itu yang menghadapi bekalan air berikutan tiada paip utama air yang dipasang di laluan berkenaan menyebabkan empat daripada pemilik rumah terpaksa bergantung dengan air perigi.

Empat lagi pemilik rumah menyambung paip dari laluan lain menyebabkan bekalan air kecil terutama ketika jiran bersebelahan banyak menggunakan air.

Ng berkata, keluarganya sejak dulu hanya bergantung kepada air hujan daripada perigi yang dibina di belakang rumah yang dilengkapi dengan sistem pam elektrik bagi menyedut air terus ke paip.

Katanya, masalah ini sudah diajukan kepada pemimpin masyarakat di kawasan itu tetapi sehingga kini masih belum nampak jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Selain itu, katanya, beliau juga hairan mengapa kawasan kebun getah miliknya yang terletak berhampiran tidak menghadapi masalah bekalan air.

Katanya, walaupun hanya lapan rumah di Jalan Devis tetapi masyarakat di kawasan ini tetap mempunyai hak yang sama untuk mendapatkan kemudahan berikutan kerana turut menjelaskan cukai harta dan cukai tanah.

Sementara itu, penduduk, Tee Long Chai, 75, berkata masalah bekalan air semakin teruk terutama ketika musim perayaan Tahun Baru Cina berikutan semua ahli keluarga berkumpul.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 MEI 2009

Tiada ulasan: