PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

UMNO TUNGGU MAKLUM BALAS AHLI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MUHYIDDIN memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran ke-62 sebelum merasmikan serentak Persidangan Cawangan Umno Bahagian Pagoh di Muar, semalam.

Rangka draf pindaan perlembagaan hampir siap, akan diedarkan: Muhyiddin

MUAR: Rangka draf pindaan Perlembagaan Umno yang membabitkan perubahan peraturan dalaman, termasuk sistem kuota dan pemilihan parti sudah hampir siap dan akan diedarkan kepada semua badan perhubungan Umno negeri dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata edaran kepada badan perhubungan Umno negeri itu dibuat bagi membolehkan mereka memberi maklum balas sebelum ia dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno Khas yang dijadualkan tahun ini.

Beliau berkata, badan perhubungan Umno negeri diminta meneliti dan memberikan maklum balas, cadangan atau penambahbaikan draf itu sebelum ia diserahkan semula untuk dibincangkan pengurusan Umno serta Majlis Tertinggi (MT).

Katanya, perbincangan mengenai pindaan Perlembagaan Umno itu dibuat naib presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beliau sendiri turut memberikan beberapa maklumat, termasuk mengenai bentuk pindaan yang dicadangkan terhadap undang-undang parti.

"Beliau (Hishammuddin) menyediakan rangka draf dan ia dijangka siap dalam masa seminggu dua ini yang kemudian akan dihantar ke semua perhubungan negeri untuk melihat jika ada cadangan atau penambahbaikan yang perlu.

"Kita mahu ia dielokkan lagi sebelum dihantar balik sebelum dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno dan seterusnya MT," katanya selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Palniappa di sini, semalam.

Pindaan Perlembagaan Umno itu dilakukan berikutan saranan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, ketika membuat ucapan sulung sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno, 28 Mac lalu supaya semua urusan lebih lancar.

Antara lain, cadangan meminda Perlembagaan Umno itu dibuat bagi memberi mandat kepada lebih ramai ahli parti memilih kepemimpinan tertinggi yang dibuat secara serentak di 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Ia dijangka mampu memberi kesan positif kepada parti berbanding proses pemilihan ketika ini yang dibuat mengikut kuota, dengan kepemimpinan pula dipilih kira-kira 2,000 perwakilan sedangkan Umno dianggotai lebih tiga juta ahli.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, antara cadangan dalam pindaan itu termasuk mengenai sistem pemilihan, kuota (pencalonan) dan perubahan dari segi peraturan Pergerakan Umno, Wanita dan Puteri.

Beliau berkata, turut termasuk dalam cadangan pindaan itu ialah sama ada semua ketua perhubungan Umno negeri akan kekal menjadi ahli MT parti secara automatik atau tidak.

"Apabila semua perkara itu sudah siap, kita akan membawa draf pindaan itu ke Perhimpunan Agung Khas yang dijangka dapat kita adakan tahun ini juga," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: