PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2009

PADAH MULUT CELUPAR

Oleh Junita Mat Rasid
am@hmetro.com.my


DI SINI...lokasi mangsa ditembak dari jarak dekat di depan pagar rumahnya di Kampung Baru 2, Tangkak.

TANGKAK: Pepatah Melayu ‘kerana mulut, badan binasa’ terbukti benar apabila seorang bekas kontraktor mati ditembak di bawah matanya dipercayai ada kaitan dengan tingkah laku mangsa yang bermulut celupar dan sering bertengkar dengan orang lain.

Ng Chai Heng, 62, ditembak dari jarak dekat di depan pagar rumahnya di Jalan Bukit Kontang, Kampung Baru 2 di sini, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Ketika itu, dia berbasikal pulang ke rumah selepas membeli barang di pasar raya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas penyerangnya melepaskan satu das tembakan mengenai bawah mata kanannya.

Anak mangsa, Ng Boon Hock, 25, yang berada di rumah kerana bercuti berkata, mulanya dia mendengar bunyi letupan.

Apabila keluar rumah, dia mendapati bapanya terbaring berlumuran darah di tepi basikal di luar pagar rumah mereka.

Dia yang awalnya menyangka bapanya kemungkinan terbabit dalam kemalangan terus menghubungi ambulans tetapi ketika tiba di hospital, bapanya disahkan sudah meninggal dunia.

Pihak hospital mengesahkan kesan tembakan di bawah mata kanannya.

Mangsa tinggal bersendirian berikutan dua anaknya bekerja di Singapura.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai bunyi letupan di kawasan itu jam 8.10 malam tetapi pasukan polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kesan tembakan daripada jarak dekat di bawah mata kanannya.

“Setakat ini polis belum dapat mengenal pasti motif sebenar pembunuhan mangsa. Polis menyiasat kes itu daripada semua sudut termasuk kemungkinan masalah pinjaman along, dendam termasuk dakwaan mangsa adalah seorang yang suka bertengkar dengan orang lain atau mulut celupar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dipercayai menunggu mangsa di luar rumahnya sebelum bertindak menembaknya dari jarak dekat ketika mangsa baru tiba di luar pagar rumah terbabit.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di 06-9781222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 MEI 2009

Tiada ulasan: