PENGUNJUNG SETIA

24 Mei 2009

PENUMPANG TEKSI MAUT DIREMPUH TRELER

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Bahagian belakang teksi remuk teruk selepas dirempuh sebuah treler di Jalan Kesang lewat pagi kelmarin.

Tiga lagi cedera, terperangkap dalam kenderaan remuk teruk

TANGKAK: Seorang penumpang sebuah kereta sewa maut, manakala tiga lagi termasuk pemandu kereta berkenaan cedera apabila kenderaan itu dirempuh sebuah treler berhampiran simpang ke Jambatan Kedua, di Jalan Kesang, di sini, awal pagi semalam.

Wanita warga Indonesia berkenaan, Aryani Sabar, 25, pekerja sebuah kilang elektronik di Bangi, Selangor, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk rawatan akibat kecederaan parah dialaminya dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu.

Seorang lagi wanita, Vitirah Apriyani, 20, yang juga dipercayai warga Indonesia bersama seorang lagi penumpang serta pemandu kereta itu yang identiti mereka belum dikenal pasti cedera dan kini dirawat di hospital sama.

Kemalangan menyebabkan kereta sewa itu remuk teruk dan keempat-empat mangsa terperangkap di tempat duduk masing-masing sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar.

Jurucakap polis berkata, Aryani dan Vitirah menaiki kereta sewa itu dari Negeri Sembilan ke Muar untuk bertemu rakan mereka, manakala pemandu kereta berkenaan membawa seorang rakan untuk menemaninya.

Seorang wanita daripada tiga yang cedera dihantar ke hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSF) Muar.

“Kereta sewa itu yang berada di lorong laju dipercayai secara tiba-tiba masuk ke laluan kiri ketika tiba berhampiran simpang menuju ke Jambatan Kedua menyebabkan pemandu treler yang berada di laluan kiri tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit,” katanya.

Katanya, pemandu dan kelindan treler itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 24 MEI 2009

Tiada ulasan: