PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2009

ILP SAGIL JUARA PIALA TOK SIMIN

UNGGUL...pasukan ILP Sagil bergambar bersama Zaidi (lima dari kanan) dan Simin (tiga dari kanan).

Oleh Jamaludin Husin

am@hmetro.com.my

MUAR: Sebanyak 10 pasukan menyertai pertandingan bola sepak sembilan sebelah di Padang Dataran Bestari Kampung Sagil Parit 3, Tangkak, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kampung Sagil Parit 2 bagi merebut Piala Tok Simin iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan, Simin Jasiman.

Menurut Ketua Pemuda Umno cawangan kampung itu, Arifudin Wagiman, program pertama kali diadakan itu bertujuan meningkatkan mutu kesukanan khususnya bola sepak di kalangan remaja tempatan.

Beliau berkata, pertandingan itu dapat mencungkil bakat baru supaya boleh diketengahkan melalui penyertaan pertandingan di peringkat mukim, daerah dan negeri pada masa depan.

“Program ini bertujuan mengumpul dan menggembeling tenaga pemuda dalam bidang sukan serta menanam semangat kesukanan di kalangan remaja setempat.

“Bagi memeriahkan lagi acara pertandingan, penganjur turut mengadakan acara cabutan nombor bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Simin dalam ucapan perasmian penutup dan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan yang menang berkata, tindakan beliau menyumbangkan piala sebagai hadiah pertandingan bertujuan menggalakkan belia supaya meningkatkan kegiatan dalam bidang kesukanan khususnya bola sepak.

Beliau berkata, walaupun nilai sumbangan itu tidak seberapa, tetapi yang lebih penting ialah melakukan usaha yang boleh menarik minat belia menanamkan semangat cintakan sukan termasuk menyertai pasukan bola sepak di kawasan masing-masing.

“Selain hadiah piala bagi pasukan yang menjadi johan, pemenang pertama hingga ke empat turut menerima wang tunai daripada RM50 hingga RM300 dan sijil penyertaan kepada semua pasukan yang menyertai pertandingan itu,” katanya.

Pasukan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil muncul juara. Tempat kedua, Garang FC dan ketiga, Pilihan Sagil Parit 3.

Hadiah disampaikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 MEI 2009

Tiada ulasan: