PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2009

BEKAS KONTRAKTOR DITEMBAK DEPAN RUMAH

TANGKAK: Seorang lelaki bekas kontraktor yang berbasikal pulang ke rumahnya selepas membeli barang di pasar raya, mati ditembak dari jarak dekat di depan pagar rumahnya, di Jalan Bukit Kontang, Kampung Baru 2, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Ng Chai Heng, 62, dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat satu das tembakan di bawah mata kanannya.

Anak mangsa, Boon Hock, 25, yang bekerja di Singapura tetapi berada di rumah kerana sedang bercuti, pada mulanya mendengar bunyi letupan dan apabila keluar rumah beliau mendapati bapanya terbaring berlumuran darah di tepi basikalnya di luar pagar rumah mereka.

Beliau yang menyangka bapanya kemungkinan terbabit dalam kemalangan terus menghubungi ambulans tetapi ketika tiba di hospital bapanya disahkan sudah meninggal dunia, dan pihak hospital turut mengesahkan kesan tembakan di bawah mata kanannya.

Mangsa tinggal bersendirian berikutan dua anaknya bekerja di Singapura.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya pada mulanya menerima panggilan mengenai bunyi letupan di kawasan itu jam 8.10 malam tetapi pasukan polis yang tiba di tempat mendapati mangsa sudah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, kejadian itu diklasfikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kesan tembakan daripada jarak dekat di bawah mata kanannya dan setakat ini polis belum dapat mengenal pasti motif sebenar pembunuhan mangsa," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya menyiasat kes itu daripada semua sudut termasuk kemungkinan masalah pinjaman ah long, dendam termasuk dakwaan bahawa mangsa adalah seorang yang suka bertengkar dengan orang lain atau mulut celupar.

Beliau berkata, suspek yang menembak mangsa dipercayai menunggu mangsa di luar rumahnya sebelum bertindak menembaknya daripada jarak dekat ketika mangsa baru tiba di luar pagar rumah terbabit.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di 06-9781222 atau balai polis berhampiran, bagi membantu siasatan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 13 MEI 2009

Tiada ulasan: