PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

RASUAH: PAS TIDAK TERKECUALI

MUAR 17 Mei - Dakwaan rasuah yang berlaku dalam Pas menunjukkan parti itu juga tidak terkecuali daripada gejala terkutuk tersebut, kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, gejala berkenaan tidak boleh dikhususkan kepada parti tertentu sahaja dan Pas diyakini akan mengambil strategi untuk tidak menggembar- gemburkan masalah tersebut kepada umum.

"Itu soal mereka dan kita tidak mahu campur tangan dalam urusan Pas tetapi kalau ada laporan tentu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ambil tindakan," katanya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam yang mengarahkan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat pada mesyuarat khas Isnin ini, ekoran kenyataannya mengenai amalan memberi hadiah kepada perwakilan menjelang pemilihan parti itu.

Husam berkata, sekiranya Mohamed Daud dapat mengemukakan bukti maka ia akan dipanjangkan kepada jawatankuasa disiplin bagi membolehkan tindakan diambil ke atas mereka yang terbabit.

Mengenai pemecatan Senator T. Murugiah dalam Parti Progresif Rakyat (PPP), Muhyiddin berkata, ia adalah urusan dalaman parti berkenaan yang tidak perlu parti lain campur tangan.

Bagaimanapun menurutnya, adalah lebih molek jika PPP menjelaskan asas dan sebab berhubung langkah tindakan pemecatan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: