PENGUNJUNG SETIA

28 Mei 2009

REMPAH SENAN BERIANI POPULAR


Kakitangan Hj. Senan Food Industries yang terdiri daripada saudara mara bersama produk yang dihasilkan di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 27 Mei – Sebut saja rempah kari pasti kita terus ingat jenama Baba‘s atau Alagappa yang sememangnya sinonim dengan orang India sebagai pembekal pelbagai jenis rempah ratus.

Kini rempah yang digunakan untuk memasak kari juga telah dikeluarkan oleh orang Melayu dan mendapat tempat di kalangan pengguna.

Rempah ratus yang dihasilkan oleh bumiputera bergantung kepada kepelbagaian jenis masakan dan bukan untuk kari semata-mata.

Justeru itulah rempah ratus keluaran Hj. Senan Food Industri menerusi jenama Senan Beriani menjadi pilihan ramai di kalangan masyarakat Melayu.

Ini kerana selain menghasilkan rempah untuk masakan kari, kurma dan masak merah, syarikat yang sudah beroperasi sejak 25 tahun lalu turut mengeluarkan produk rempah beriani, soto, mi bandung serta perencah mi rebus.

Pengurus Operasi Hj. Senan Food Industries, Farahiyah Mohd. Puad, 26, berkata, rempah ratus yang dihasilkan oleh syarikat berkenaan bermula daripada resipi datuknya, Haji Senan Abdul Samad.

‘‘Arwah datuk adalah seorang tukang masak untuk kenduri kahwin di Muar. Datuk selalu masak nasi beriani dan bermula dari situ, ada yang minta resipi.

‘‘Memandangkan ia adalah resipi keluarga, maka datuk dan bapa saya, mula membuat dan menjual rempah secara kecil-kecilan pada tahun 1974 kepada orang ramai yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, untuk permulaan rempah yang dijual tertumpu pada resipi yang sering dimasak oleh datuknya untuk majlis perkahwinan.

Bagaimanapun pada 1982, syarikat itu mula mengorak langkah menghasilkan produk seperti serbuk kunyit, soto dan sup.

Farahiyah berkata, dua tahun lalu barulah syarikatnya mengeluarkan perencah mi bandung, mi rebus, ikan bakar, asam pedas serta set nasi beriani.

‘‘Dari sedikit jadi banyak, sekarang syarikat kami mengeluarkan 13 produk dan paling istimewa adalah perencah mi bandung, soto, tepung ayam goreng dan beriani special.

‘‘Walaupun orang sudah mengenali produk kami, namun setiap kali ada pameran kami tidak lepas peluang untuk menyertai kerana ia adalah sebahagian daripada promosi,” katanya.

Kini syarikat yang dikendalikan oleh sanak saudara itu beroperasi sepenuhnya di Jalan Sultan Ibrahim, Muar dan cawangannya di Taman Sri Amar Majidee, Johor Bahru.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 28 MEI 2009

Tiada ulasan: