PENGUNJUNG SETIA

25 Mei 2009

72 RUMAH ROSAK DILANDA RIBUT

Oleh Mohd Zin Ali dan Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Berpuluh pokok, tiang elektrik tumbang memaksa bekalan diputus sementara

TANGKAK: Sebanyak 72 rumah membabitkan 48 rumah di empat kampung di sini dan 24 lagi di Kampung Sepakat, Masai, Johor Bahru mengalami kerosakan apabila bumbung diterbangkan angin dan ditimpa pokok dalam kejadian hujan ribut, kelmarin.

Kejadian jam 3.30 petang itu membabitkan 25 rumah di Kampung Parit Pulai, manakala 12 rumah di Kampung Serom 5, 10 rumah di Kampung Serom 8 dan sebuah rumah di Kampung Serom 6 di sini.

Dalam kejadian itu, berpuluh pokok dan tiang elektrik tumbang sehingga menyebabkan bekalan elektrik terpaksa diputuskan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja membaik pulih dijalankan.

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut dihantar ke kampung berkenaan bagi membantu penduduk membersih dan membaiki kawasan yang terjejas. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Turut melawat tempat kejadian, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman dan Penghulu Mukim Serom, Jamaluddin Jamil.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya akan membantu mendirikan sebuah rumah baru untuk meringankan beban seorang warga emas yang rumahnya ranap dalam kejadian hujan ribut di Kampung Serom 8.

"Untuk mangsa ribut lain, pelbagai agensi kerajaan seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka," katanya.

Tukang kebun, Anmain Jais, 53, dari Kampung Serom 5 berkata anaknya, Mohd Huzairi, 22, yang sedang nyenyak tidur nyaris cedera apabila sebatang pokok kelapa tumbang dan menimpa katilnya.

“Saya bersyukur kerana pokok kelapa dan serpihan kayu terjatuh betul-betul di sebelah anak saya yang sedang tidur menyebabkannya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Anmain berkata, dua lagi anaknya, Siti Haniza, 17 dan Mohd Hisham juga terselamat kerana kejadian berlaku ketika mereka sedang makan di ruang tamu yang terletak bersebelahan dengan bilik Mohd Huzairi.

Seorang lagi mangsa, Hadif Azali, 48, berkata rumahnya rosak teruk apabila hampir keseluruhan bumbung rumah dan kedainya yang terletak bersebelahan, diterbangkan angin.

Katanya, kejadian berlaku ketika beliau sedang melayan beberapa pelanggannya.

"Saya hanya terpaku melihat semua bumbung kedai dan bumbung rumah saya diterbangkan secara serentak sehingga menyebabkan air hujan membasahi rumah dan kedai saya," katanya yang bersyukur kerana isteri, Masriza Kaliwoon, 43, dan empat anak mereka terselamat.

Di JOHOR BAHRU, Noraini Abdullah, 47, berkata kejadian ribut yang melanda Kampung Sepakat, Masai berlaku ketika beliau bersama dua anak perempuan bersama seorang cucu lelakinya berusia tujuh tahun sedang sibuk memindahkan barangan ke tempat selamat selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.4 meter akibat banjir kilat.

"Sedang kami kelam kabut memindahkan barang akibat banjir kilat itu, tiba-tiba datang satu angin berpusing menerbangkan atap zink rumah. Semua perabot dan barangan elektrik seperti televisyen dan peti ais juga rosak,” kata ibu tunggal itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 25 MEI 2009

Tiada ulasan: