PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2009

POLIS BERKAS PERAGUT, CURI MOTORSIKAL

LEDANG 14 Mei - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seorang penjenayah yang dikehendaki atas beberapa kes ragut dan curi motosikal di sekitar daerah ini akhirnya tidak dapat melarikan diri lagi apabila diberkas polis dalam serbuan di Tangkak Jaya di sini baru-baru ini.

Suspek berusia 34 tahun itu yang dikenali dengan nama samaran 'J.M.', diburu setelah terbabit dalam lima kes ragut dan empat kes jenayah curi motosikal.

Selain itu, dia juga dikehendaki bagi menyelesaikan tiga kes pecah rumah serta sembilan kes kecurian hasil tanaman pisang.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, suspek ditahan dalam 'Ops Tapis' yang dijalankan minggu lalu di kawasan perumahan Tangkak Jaya.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti jenayah lain yang dikaitkan dengan suspek disyaki penagih dadah ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Harun, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes yang berasingan, Harun memberitahu, pihaknya menahan seorang penoreh getah berusia 29 tahun kerana disyaki terbabit dalam dua kes curi motosikal dan kes curi hasil pertanian di Sagil.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 MEI 2009

Tiada ulasan: