PENGUNJUNG SETIA

31 Mei 2009

JOHOR KESAN PROJEK RUMAH TERBENGKALAI

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

Kerajaan Negeri pastikan nasib pembeli dibela

LEDANG: Kerajaan negeri akan mengesan semua projek perumahan terbengkalai di negeri ini supaya masalah pengguna yang paling rumit untuk diatasi itu akan dapat diselesaikan bagi memastikan nasib pembeli, terbela.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata masalah projek perumahan terbengkalai antara isu yang paling rumit untuk diselesaikan berikutan ia membabitkan banyak pihak seperti pemaju, bank dan pembeli.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu projek perumahan terbengkalai dalam perhatian dan kerajaan serius membantu dalam menangani masalah berkenaan dengan mengesan semua projek bermasalah di negeri ini supaya nasib rakyat yang terjerat dalam kes itu dibela.

Katanya, jika masalah projek perumahan terbengkalai tidak diberikan perhatian, pembeli berdepan masalah kerana terpaksa menjelaskan pinjaman bulanan yang dibuat walaupun rumah yang dibeli tidak siap.

"Ada aduan diterima membabitkan projek perumahan terbengkalai yang berlaku di setiap daerah di negeri ini dengan kerajaan cuba membantu menyelesaikannya walaupun masalah itu rumit.

"Projek perumahan di pekan Sungai Mati adalah antara yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu yang diharap dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Sepatutnya masalah itu sudah diatasi lima tahun dulu... tetapi kerana ia membabitkan antara pemaju dan bank menyebabkannya tertangguh sehingga kini," katanya dalam ucapannya dalam Majlis Penutup Seminar Kesedaran Pengguna dan Pelancaran Penubuhan Persatuan Pengguna Ledang, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil pelantikan ahli persatuan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Pengguna Ledang, Senator Ahmat Yusop.

Selain itu, katanya, penubuhan kali pertama persatuan itu diharap dapat membantu memberikan kesedaran mengenai isu kepenggunaan kepada masyarakat di sekitar daerah berkenaan.

"Kita harap dengan ada persatuan pengguna, masyarakat di daerah ini akan didedah dan diberikan kesedaran supaya lebih bijak dalam membuat pilihan bagi mengelak berlaku pembaziran," katanya.

SUMBER: BERITA MINGGU, 31 MEI 2009

Tiada ulasan: