PENGUNJUNG SETIA

04 Mei 2009

PENJENAYAH HAMPIR PUTUS TANGAN DITETAK RAKAN

LEDANG 3 Mei - Polis menahan seorang penjenayah yang dalam keadaan tangan kirinya hampir putus dipercayai selepas ditetak oleh rakannya di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 13, Jalan Muar-Tangkak, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek ditahan selepas pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan di kawasan tersebut.

Suspek yang berusia 23 tahun dan dikehendaki ekoran lebih 20 kes jenayah ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan hampir keseluruhan tangannya dari paras bahu hampir terputus.

Siasatan di tempat kejadian turut menemui sebilah parang dipercayai digunakan oleh rakan suspek yang menetaknya.

Dipercayai rakan suspek itu melarikan diri setelah kejadian tersebut.

Suspek yang merupakan penagih dadah dipercayai terlibat dalam kes samun, ragut dan pecah rumah di sekitar daerah Ledang termasuk di pekan Bukit Gambir dan Sungai Mati.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis masih menyiasat punca pergaduhan tersebut.

''Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes-kes rompakan di daerah ini.

''Suspek kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan kita sudah mendapat perintah menahan reman selama tujuh hari hingga Jumaat ini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 MEI 2009

Tiada ulasan: