TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 Mac 2011

IBU TUNGGAL MANGSA BANJIR TERIMA SUMBANGAN JUITA

LEDANG 4 Mac - Seramai 470 ibu tunggal dari daerah Ledang, Muar dan Segamat yang menjadi mangsa banjir menerima sumbangan daripada Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Johor (Juita).

Bantuan wang tunai, pakaian dan makanan itu disampaikan Yang Dipertua Juita, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin di Dewan Jubli Intan, Tangkak, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman serta Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani.

Jamilah dalam ucapannya berharap, bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka untuk memulakan kehidupan baru selepas dilanda bencana alam itu baru-baru ini.

"Juita amat prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di negeri ini terutamanya golongan ibu tunggal yang nyata memerlukan lebih perhatian.

"Kami berharap dengan program turun padang bagi menyampaikan bantuan ini dapat meringankan beban golongan ibu tunggal serta keluarga mereka," katanya pada majlis berkenaan.

Selain Juita, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim dan Persatuan Soka Gakkai Johor turut menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir berkenaan.

Isteri Menteri Besar Johor memberitahu, pihaknya memilih ibu tunggal sebagai penerima bantuan itu kerana Juita sememangnya terlibat dalam banyak aktiviti bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Menurutnya, Juita mempunyai dua pusat latihan di negeri ini dan sepanjang tujuh tahun lalu 600 ibu tunggal dilatih untuk menambah pendapatan dengan mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuk bidang jahitan, masakan dan asuhan.

Justeru, beliau menggalakkan ibu tunggal yang berminat melibatkan diri dalam program Juita dengan mendaftarkan diri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 5 MAC 2011

Tiada ulasan: