PENGUNJUNG SETIA

15 Mac 2011

PENGGUNA DISYOR TELITI HARGA BARANG

LEDANG: Pengguna yang membeli barangan di kedai atau pasar raya perlu memastikan harga yang tertera pada label sama dengan harga yang diimbas ketika membuat pembayaran.

Ini berikutan terdapat perbezaan harga pada sesetengah barangan yang dijual dan boleh membawa kerugian kepada pembeli sekiranya tidak meneliti harga berkenaan.

Kakitangan sebuah kolej kemahiran di sini, yang mahu dikenali sebagai Man Ahmad, 50, mendakwa beliau mengalami kejadian itu sebanyak dua kali ketika berbelanja di sebuah kedai dekat Bukit Gambir, kelmarin.

Menurutnya, kali pertama beliau membeli bahan untuk membuat bubur yang tertera pada label berharga RM1.30 tetapi ketika membuat pembayaran di kaunter selepas diimbas harganya RM1.50.

Beliau kemudian bertanya penjaga kaunter berkenaan perbezaan harga pada label dengan yang diimbas menggunakan alat pengimbas dan diberitahu ia kesilapan teknikal lalu diperbetulkan harganya.

“Dua hari kemudian saya pergi ke kedai yang sama untuk membeli barangan keperluan termasuk sebotol kicap saiz besar dan tertera pada label RM5.20.

“Apabila ke kaunter untuk membuat pembayaran saya terkejut bila mendapati harga yang diimbas RM6.50 sedangkan pada label cuma RM5.20 dengan perbezaan sebanyak RM1.30,” katanya kepada Edisi Johor.

Man kemudian mendapatkan penjelasan pihak pengurusan kedai mengenai perbezaan harga tersebut dan diberitahu terdapat kesilapan teknikal ketika memasukkan harga pada alat pengimbas.

Katanya, pada kebiasaannya pengguna tidak meneliti harga barangan yang dibeli ketika membuat pembayaran terutama apabila membeli dalam kuantiti yang banyak.

Beliau menasihatkan pengguna lain yang berbelanja sama ada di kedai atau pasar raya memastikan harga label dengan yang diimbas sama bagi mengelakkan menanggung kerugian sekiranya terdapat perbezaan tanpa disedari.

SUMBER: BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

Tiada ulasan: