TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mac 2011

KAIN RM1 SEMETER DI FESTIVAL TEKSTIL


NG Yen Yen secara simbolik menggunting kain pada Majlis Pelancaran Festival Tekstil Tangkak 2011 di Tangkak, Ledang, Johor, kelmarin.











LEDANG 5 Mac - Langkah untuk mengembalikan kegemilangan bandar Tangkak sebagai destinasi beli-belah tekstil terkemuka negara dimulakan dengan penganjuran Festival Tekstil Tangkak 2011 yang menawarkan harga kain semurah RM1 semeter.

Selain lelongan kain, festival empat hari yang bermula semalam dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen di sini hari ini, turut menyediakan pelbagai program menarik untuk pengunjung seperti persembahan kebudayaan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Yen Yen memuji inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai memeriahkan serta mempelbagaikan lagi kegiatan pelancongan yang menarik di negara ini.

"Pada 1990-an bandar Tangkak memang cukup terkenal dengan jualan tekstil dan ketika itu dalam sehari bandar ini menerima kehadiran 50 bas membawa pelancong untuk membeli kain.

"Bagaimanapun, kerana persaingan dengan bandar-bandar lain suasana semakin berubah, namun saya yakin kita boleh hidupkan semula bandar Tangkak sebagai bandar tekstil Malaysia," katanya.

Yen Yen yakin Tangkak akan menjadi lokasi pelancongan yang cukup menarik pelancong luar terutama dari Singapura yang berminat untuk membeli kain pada harga berpatutan.

"Bukan sahaja kain ela untuk dibuat baju, kain untuk langsir juga banyak dijual dan saya rasa kita perlu ada kesedaran untuk mengajak para pelancong datang ke Tangkak untuk membeli-belah," katanya.

Menurutnya, festival itu sewajarnya diteruskan pada masa hadapan dengan melibatkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bengkel fesyen, jualan makanan istimewa serta promosi produk pelancongan tempatan.

Turut hadir pada perasmian festival itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Hoo Seong Chang; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee serta Pegawai Daerah Ledang, Amran A. Rahman.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 MAC 2011

Tiada ulasan: