PENGUNJUNG SETIA

08 Mac 2011

RINTIHAN PENIAGA KEDAI MAKAN

LEDANG – Kebimbangan seorang peniaga mengenai masa depan kedai makannya di Persimpangan Jalan An Jin, Tangkak di sini tidak berkesudahan apabila dia masih menerima surat notis perpindahan daripada pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

Terbaru, dia menerima notis arahan perpindahan kedai makan tersebut yang berakhir pada 28 Februari, lalu.

Baharuddin Baharom, 47, berkata, dia sememangnya tidak berpuas hati dengan penerimaan notis arahan memindahkan kedainya itu.

Menurutnya, dia sangat kecewa kerana kedai makan yang sudah beroperasi selama 30 tahun di tapak tersebut terus menjadi sasaran pihak berkenaan.

“Sejak daripada kedai makan ini beroperasi sekitar tahun 1980 yang pada asalnya diusahakan bapa mertua telah menerima notis arahan perpindahan.

“Kini apabila saya meneruskan kedai makan ini, notis arahan perpindahan masih lagi dikeluarkan sehingga mengganggu tumpuan untuk berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharuddin berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi mempertahankan kedai makan miliknya termasuk berjumpa dengan Menteri Besar dan Ahli Parlimen di sini tetapi tidak berhasil apabila kedainya masih menjadi sasaran.

“Persoalannya di sini, mengapa kedai saya yang sudah beroperasi sejak sekian lama di sini ini masih lagi diganggu.

“Alasan yang diberikan pihak berkuasa bahawa tapak kedai makan ini untuk kerja pelebaran jalan adalah tidak munasabah,” katanya.

Menurutnya, ada lagi kedai yang diusahakan kaum lain di persimpangan Jalan Hospital tidak diarahkan berpindah sedangkan jalan itu agak sibuk dengan kenderaan.

Katanya, di bandar Tangkak ini, hanya ada kira-kira lima peniaga Bumiputera yang berniaga kedai makanan pada waktu pagi.

“Berilah peluang kepada saya untuk terus kekal berniaga di sini kerana sudah memiliki ramai pelanggan tetap.

“Kedudukan yang strategik di tepi jalan ini sangat membantu melariskan kedai makannya dan dianggarkan seramai 700 pelanggan datang ke kedainya setiap hari,” katanya.

Baharuddin berkata, seandainya pelaksanaan pemindahan itu dikuatkuasakan ia akan menjejaskan pendapatannya kerana di lokasi yang baru belum tentu dapat menarik kehadiran pelanggan sepertimana di sini.

“Lebih membimbangkan lagi ialah mengenangkan nasib lapan pekerja yang kemungkinan akan kehilangan pekerjaan.

“Kesemua pekerja saya bukan daripada keluarga yang senang, bahkan dua daripadanya adalah ibu tunggal,” katanya.

Menurutnya, dia memohon jasa baik kepada pihak berkuasa supaya mempertimbangkan semula cadangan mengenai notis perpindahan itu kerana ia melibatkan masa depan peniaga Bumiputera.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 8 MAC 2011

Tiada ulasan: