PENGUNJUNG SETIA

18 Mac 2011

PERKESO BANTU PEKERJA TERABAI

LEDANG – Kisah seorang pekerja syarikat telekomunikasi yang terabai tanpa pembelaan daripada majikan berjaya menarik perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Muar untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanannya.

Radzuan Ismail, 54, ditimpa kemalangan ketika sedang bekerja pada 2006 yang menyebabkan dia mengalami kecederaan serius pada tulang belakangnya sehingga hilang keupayaan untuk bekerja.

Sejak daripada insiden itu dia tidak bekerja dan punca pendapatannya sekeluarga terjejas teruk sehingga rumahnya hampir dilelong kerana gagal melangsaikan hutang.

Dia yang tidak menerima sebarang pampasan daripada majikan, kini terpaksa bergantung dengan mata pencarian daripada isterinya sebagai penjual kuih muih di sekitar Bukit Kangkar.

Pihak Perkeso mengambil pendekatan menerusi tanggungjawab sosialnya dengan membantunya Radzuan supaya menyegerakan permohonan bagi pencen ilat.

Pengurus Perkeso Muar, Jamaluddin berkata, ini kerana dia berpeluang untuk mendapatkan pencen ilat kelayakan berkenaan adalah bagi yang berusia di bawah 55 tahun.

Menurutnya, meskipun Radzuan sudah menerima bayaran pampasan sebanyak RM44,512 daripada Perkeso selepas beberapa bulan insiden kemalangan itu tetapi dia layak untuk membuat permohonan pencen ilat.

“Bagaimanapun, selepas menerima pencen ini dia perlu memulangkan semula pampasan berkenaan. Pemulangan pampasan ini kemungkinan pada jumlah yang lebih kecil atau dipotong menerusi pencen ilat kelak.

“Ini kerana mengikut Seksyen 96, setiap pekerja hanya boleh menerima salah satu sama ada bayaran pampasan ataupun pencen ilat,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, pihak Perkeso turut mempelawa Radzuan untuk menyertai program Return To Work yang mula diperkenalkan di Johor pada tahun lalu.

Katanya, program tersebut merupakan satu program pemulihan fizikal yang disediakan kepada orang berinsurans Perkeso yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit.

“Ia bagi mengembalikan fungsi anggota badan dan seterusnya kembali semula ke alam pekerjaan lebih awal, sihat dan selamat.

“Program ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pekerja, majikan, doktor yang merawat, penyediaan perkhidmatan rehabilitasi, badan bukan kerajaan, pusat vokasional dan pihak lain dalam membantu menjayakan program Return To Work dengan lebih efektif,” katanya.

Jamaluddin berkata, program berkenaan memberikan banyak faedah kepada pekerja juga majikan.

“Antara faedah utama ialah dapat membantu pekerja kembali semula berdikari dan bekerja untuk menampung kehidupan dan keluarga,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 18 MAC 2011

Tiada ulasan: