TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Mac 2011

500 HADIRI PROGRAM AADK DI TANGKAK

LEDANG 15 Mac - Lebih 500 orang terdiri daripada golongan belia, kakitangan awam dan swasta serta masyarakat setempat menghadiri Program Hari Peringatan Anti Dadah Kebangsaan 2011 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak di sini semalam.

Program berkenaan yang turut merangkumi pameran pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan undang-undang dadah itu dirasmikan oleh Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Hairun Nazli Isa yang diiringi Penolong Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Johor, Hamizan Haidzir.

Hairun dalam ucapannya berkata, usaha untuk memerangi dadah seharusnya ditangani bersama oleh semua pihak dan masyarakat perlu digerakkan untuk membasminya di peringkat akar umbi lagi.

"Kerosakan yang dibawa oleh dadah adalah sangat besar kerana bukan setakat kehidupan penagih sahaja terjejas malah kehidupan keluarga, masyarakat dan negara turut terjejas," katanya.

Jelas Hamizan, statistik AADK negeri Johor menunjukkan jumlah kes pengawasan bekas penagih di negeri ini sehingga bulan Januari lalu adalah seramai 4,619 Orang Kena Pengawasan (OKP) dengan 4,055 kes mendapat kerjasama manakala 564 kes tidak mendapat kerjasama sepenuhnya.

"Walaupun angka tersebut nampak kecil tetapi ia akan memberi impak yang besar jika kita leka kerana dadah tidak mengenal siapa mangsanya.

"Apa yang penting, kita harus sentiasa berwaspada, setiap individu, keluarga, pemimpin dan anggota masyarakat perlu sedaya-upaya mencegah dadah agar statistik itu tidak bertambah dan dapat diturunkan," katanya lagi.

Tambahnya, Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri dan daerah juga sewajarnya diperkasakan dengan penglibatan aktif dari setiap jabatan kerajaan untuk menganjurkan program-program pencegahan dadah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 MAC 2011

Tiada ulasan: