TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Mac 2011

FESTIVAL TEKSTIL TANGKAK AHAD INI

LEDANG 1 Mac - Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Tekstil Tangkak yang akan berlangsung mulai Khamis hingga Ahad ini.

Sempena festival berkenaan, lebih 30 premis menjual tekstil di bandar Tangkak turut menawarkan harga istimewa dengan diskaun sehingga 80 peratus.

Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman berkata, festival yang pertama kali diadakan itu adalah anjuran bersama Majlis Daerah Tangkak dengan Kementerian Pelancongan serta Tourism Malaysia Johor.

"Hasrat utama penganjuran festival ini adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan Tangkak sebagai destinasi membeli-belah tekstil yang cukup terkenal pada awal tahun 2000.

"Walaupun tumpuan kini agak berkurangan kerana kemunculan tempat membeli-belah yang baru seperti Nilai di Negeri Sembilan, kami yakin Tangkak mempunyai keunikan tersendiri untuk terus menarik para pengunjung," katanya di sini.

Menurutnya, selain tekstil, pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan lokasi pelancongan di daerah Ledang turut dipromosikan sepanjang festival empat hari itu.

"Kami menjangkakan lebih 10,000 orang akan memeriahkan festival itu nanti dan pastinya orang ramai tidak akan melepaskan peluang mendapatkan kain yang dijual dengan harga lelong.

"Sempena musim cuti sekolah pada 13 hingga 20 Mac ini, kami yakin lebih ramai pengunjung akan datang ke bandar Tangkak pada bulan ini," katanya.

Festival berkenaan akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen pada 4 Mac ini dan pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk persembahan artis terkenal tanah air.

Pada majlis perasmian itu, Jalan Paya Mas di bandar Tangkak akan ditutup dan orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 MAC 2011

Tiada ulasan: