PENGUNJUNG SETIA

23 Februari 2011

BERJAYA CUNGKIL BAKAT MUDA

TANGKAK - Sebanyak 38 regu menyertai Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Tangkak 2011 anjuran Biro Sepak Takraw, Kelab Sukan Dan Kebajikan Majlis Daerah Tangkak, baru-baru ini.

Ketua Urusetia Pertandingan, Yusman Yusuf berkata, pasukan yang memasuki pertandingan itu cukup menggalakkan di mana selain pasukan dari Johor, turut serta adalah pasukan dari Melaka dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, pasukan yang menyertainya juga pelbagai yang turut disertai daripada pasukan sekolah, jabatan kerajaan, industri perkilangan, institut pengajian tinggi (IPT) dan kelab tempatan.

“Dalam kejohanan ini, regu Majlis Daerah Tangkak A telah berjaya mengungguli apabila bergelar juara dengan menundukkan regu Semerah Padi dari Kuala Lumpur dengan pungutan mata 21-19, 21-19.

“Tiada pertandingan bagi tempat ketiga dan keempat kerana regu yang tewas di peringkat separuh akhir iaitu regu Majlis Daerah Tangkak E dan regu Bentara A dianggap mendapat tempat ketiga dalam kejohanan ini,” katanya.

Yusman berkata, regu Majlis Daerah Tangkak A membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 berserta piala iringan, manakala naib johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 serta piala iringan.

Untuk tempat ketiga iaitu milik dua pasukan menerima wang tunai sebanyak RM300 serta piala iringan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan ini telah tercapai matlamatnya dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda bagi sukan sepak takraw.

Ini terbukti apabila penyertaan regu majoritinya menyenaraikan satu atau dua pemain berusia bawah 21 tahun.

Selain itu, sasaran jumlah regu yang bertanding juga tercapai iaitu telah mencapai lebih daripada 30 regu.

Hadiah bagi kejohanan ini telah disumbangkan oleh Syarikat Pallas Malaysia.

Peralatan yang digunakan bagi sepanjang kejohanan berlangsung disumbangkan oleh Syarikat Pengeluar Barangan Sepak takraw Gajahmas.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 23 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: