TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Februari 2011

INSIDEN KEMATIAN MASIH GAGAL DIJADIKAN IKTIBAR


KUALA LUMPUR: "Saya kesal kejadian seperti ini masih berulang dan kerap berlaku biarpun sering kali ibu bapa dan penjaga didedahkan mengenai bahaya takungan air terhadap bayi dan kanak-kanak.

"Mereka perlu mengambil iktibar dengan memastikan kanak-kanak jauh dari takungan air biarpun hanya sedalam enam inci kerana boleh membunuh," kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Dr Zulkifli mengulas laporan akhbar ini semalam, mengenai kematian Mohamad Azry Shah, setahun, yang lemas selepas terjatuh dalam tong berisi air di rumahnya di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

Bapa mangsa, Kamaronzaman Samah, 41, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang sewaktu isterinya Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala Mohamad Azry dikatakan merangkak mengikut abangnya yang keluar melalui pintu dapur tanpa disedari.

Mangsa dijumpai lemas dalam tong berkenaan dan cubaan menyelamatkan anak bongsu daripada lima beradik itu gagal biarpun dibawa ke klinik berhampiran.

Dr Zulkifli berkata, semua pihak perlu bekerjasama memastikan ibu bapa dan penjaga diberi kesedaran berhubung bahaya yang ada di rumah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

"Mereka perlu dididik supaya lebih prihatin terhadap keselamatan anak masing-masing di luar dan dalam rumah kerana banyak perkara boleh menyumbang kepada kes seperti ini.

"Ia perlu dilakukan secara meluas.

"Malah, tiba masanya golongan seperti ini didedahkan dengan teknik bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk berdepan situasi sama," katanya.

Katanya, walaupun pelbagai kempen mengenai keselamatan kanak-kanak di rumah dilakukan menerusi media massa, ia tidak dapat membendung kejadian berulang jika ibu bapa tidak prihatin keselamatan anak mereka.

SUMBER: HARIAN METRO, 09 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: