TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2011

MEDAN SELERA SEPI

Oleh Jamaludin Husin
bhjb@bharian.com.my


 MEDAN Selera Taman Rekreasi Kesang, Ledang, sepi kerana perniagaan tidak beroperasi sejak lima tahun lalu.
MEDAN Selera Taman Rekreasi Kesang, Ledang, sepi kerana perniagaan tidak beroperasi sejak lima tahun lalu.

Pembangunan di tebing Sungai Rambai punca Taman Rekreasi Kesang tiada pengunjung

LEDANG: Kira-kira 10 tahun lalu, Medan Selera Taman Rekreasi Kesang, di sini, pernah menjadi tumpuan sebahagian besar penduduk dan begitu popular sebagai lokasi bersantai serta tempat menjamu selera di daerah ini dan Muar.

Kedudukannya di tepi Sungai Kesang, bersempadan dengan Pekan Sungai Rambai, Melaka mewujudkan pemandangan persekitaran menarik dan mudah dikunjungi orang ramai termasuk pemandu kenderaan dari kedua arah iaitu Muar-Melaka.

Namun, keadaannya kini sunyi sepi dan semakin dilupakan kerana semua gerai di medan selera kawasan rekreasi itu sudah tidak beroperasi lagi menjadikannya lengang tanpa pengunjung.

Ia berbeza dengan keadaan di sepanjang tebing sungai di sebelah Sungai Rambai yang sentiasa ceria, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai, termasuk penduduk di daerah ini dan Muar.

Pembangunan pesat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka di sepanjang tebing sungai di Sungai Rambai termasuk pembinaan landskap, gerai makanan dan minuman, menarik minat pengunjung untuk menjamu selera dan bersantai di situ, berbanding di Medan Selera Kesang.

Wujudnya situasi berbeza itu menyebabkan peniaga yang pernah berniaga di situ meninggalkan perniagaan mereka yang semakin hari semakin merosot yang bukan saja menjejaskan pendapatan, malah menanggung kerugian.

Tinjauan mendapati kawasan rekreasi dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, tandas awam, padang permainan, petak meletak kenderaan dan pondok wakaf itu sentiasa lengang dan tidak dikunjungi orang ramai kecuali sekali sekala pemandu singgah untuk membuang air di tandas awam di situ.

Beberapa bangku di depan gerai didapati banyak yang rosak, manakala keseluruhan meter elektrik di dinding lebih 20 gerai sudah dicabut disebabkan bekalan dipotong apabila peniaga tidak lagi berniaga di situ.

Tinjauan juga mendapati beberapa bahagian dinding bangunan gerai diconteng, sekali gus mencemarkan pemandangan, selain mengurangkan minat orang ramai untuk beriadah dan bersantai di kawasan rekreasi itu.

Seorang bekas peniaga yang pernah berniaga minuman dan makanan di kawasan rekreasi itu, Mohd Zin Jaafar, 40, berkata kunjungan orang ramai menjamu selera di situ agak menyedihkan.

Beliau mendakwa, kedudukan bangunan gerai yang membelakangkan jalan raya turut menjejaskan perniagaan peniaga, disebabkan pemandangan orang ramai terutama pemandu kenderaan terlindung, menyebabkan mereka tidak singgah menjamu selera di situ.

“Justeru, tidak hairanlah apabila ramai peniaga yang gulung tikar dan menutup perniagaan disebabkan mereka mengalami kerugian besar, apabila pelanggan tidak berkunjung ke gerai mereka.

“Saya hanya mampu bertahan selama kira-kira setahun berniaga di situ dan terpaksa menutup kedai, apabila pelanggan semakin hari semakin merosot sehingga tidak mampu membayar sewa selain mengalami kerugian teruk,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Sal, 51, berkata beliau pernah membuka butik dan menjual hasil kraf tangan dengan menyewa sebuah gerai di kawasan rekreasi itu selepas ia dibuka pada awal 2000.

Bagaimanapun, katanya, selepas enam bulan berniaga, dia terpaksa menutup perniagaannya kerana kurang mendapat sambutan walaupun terpaksa menanggung kerugian lebih RM30,000.

Penduduk tempatan, Mustafa Long, 63, berkata ketika medan selera itu mula beroperasi, keadaannya begitu membanggakan dan beberapa peniaga pernah mendakwa mampu memperoleh pendapatan menggalakkan.

Beliau berkata, pelanggan juga datang daripada pelbagai kaum, ketika itu semua kedai beroperasi dan peniaga serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menganjurkan pelbagai persembahan seperti pertandingan karaoke, deklamasi puisi serta majlis sambutan Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan di pentas khas disediakan di kawasan rekreasi itu.

“Ia sekali gus menarik lebih ramai pengunjung datang menjamu selera bersama ahli keluarga, tetapi lama kelamaan medan selera itu semakin sepi daripada kunjungan orang ramai.

“Tambahan pula pembukaan Lebuhraya Alor Gajah/Melaka/Jasin (AMJ), lima tahun lalu menjadikan kawasan rekreasi Kesang terus tertinggal daripada arus kenderaan yang jarang menggunakan jalan Muar-Kesang ke Melaka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Anak Muar di Selangor, Mohd Fuad Mohd Amin, 51, menyarankan bangunan gerai di Taman Rekreasi Kesang dijadikan lokasi perniagaan berpusat dengan menjual buah-buahan, hidupan laut seperti kupang, kerang dan siput serta ikan masin.

Katanya, langkah itu juga dapat mengurangkan kegiatan perniagaan di gerai yang berselerak di bahu jalan yang bukan saja menjejaskan pemandangan tetapi boleh mengganggu lalu lintas.

“Bagi menarik pengunjung, pihak berkuasa perlu memasang papan tanda bersaiz besar di sepanjang jalan menuju ke kawasan rekreasi itu bertujuan mempromosikan perniagaan berpusat yang memasarkan beraneka barangan bagi menarik pengunjung.

“Langkah itu dapat mengelak kawasan rekreasi itu terus menyepi dan terpadam daripada ingatan orang ramai sekali gus merugikan wang rakyat,” katanya.

Mohd Fuad berkata, gerai berpusat seumpama itu banyak terdapat di laluan masuk di bandar utama seperti di Kuantan, Pahang dan di beberapa kawasan lain di Kelantan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: