PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2011

KANAK-KANAK MATI LEMAS DALAM TONG AIR


LEDANG – Kegembiraan pasangan suami isteri menyambut ulang tahun kelahiran pertama anak bongsu mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila anaknya itu ditemui mati lemas dalam tong simpanan air di kediaman mereka di Kampung Parit Kassan Bukit Gambir, kelmarin.

Kamaronzaman Samah, 41, dan Norezan Wok, 37, tidak menyangka tindakan mereka meletakkan tong simpanan air di luar rumah mengundang padah apabila ia menjadi tempat permainan anaknya sebelum terjatuh ke dalam tong berkenaan sehingga terkorban.

Tong simpanan air tersebut dipercayai untuk kegunaan seharian mereka sekeluarga selepas bekalan air terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir yang melanda daerah berkenaan.

Bagaimanapun mangsa dipercayai telah memanjat baldi yang terletak berhampiran tong itu lalu terjatuh ke dalamnya ketika hendak mencapai air di dalam tong berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Mohamad Azry Shah, 1, dikatakan merangkak keluar melalui pintu dapur mengikut abangnya bermain di luar rumah yang turut melalui pintu sama.

Ibu mangsa, Norezan berkata, semasa kejadian dia sedang berehat di ruang tamu dan menyangka mangsa berada di dalam rumah bermain bersama-sama abangnya abangnya Mohamad Faizul Shah, 9.

Menurutnya, dia mula berasa tidak sedap hati apabila keadaan rumah sunyi dan mangsa tidak berada di dalam rumah.

“Saya bergegas keluar mencarinya dan mendapati anak saya sudah berada di dalam tong air di luar rumah dalam keadaan lemas.

“Kemungkinan anak saya ini telah mengikut abangnya keluar rumah melalui pintu dapur yang terbuka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia yang masih terkejut dengan insiden tersebut telah meminta pertolongan daripada adik iparnya, Mohd Safie Samah, 37, menghantar mangsa ke klinik berhampiran, bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Sementara itu, bapa mangsa, Kamaronzaman Samah, 41, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di Kampung Seri Melaka, Sengkang.

Menurutnya, sejurus menerima berita buruk yang menimpa anaknya itu dia bergegas pulang ke rumah.

Kamaronzaman berkata, dia tidak menyangka kejadian buruk itu menimpa anak kelimanya itu dalam keadaan yang menyayat hati.

“Meskipun terlalu pahit untuk menerima dugaan ini tetapi saya reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 08 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: