PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2011

REZEKI SELEPAS BANJIR


Oleh Junita Mat Rasid

LEDANG: Banjir yang mulai surut di daerah ini, memberi rezeki kepada penduduk apabila beratus-ratus kilogram (kg) udang galah sepit biru ditemui terperangkap di celah-celah kebun getah dan kebun kelapa sawit di tepi Sungai Muar dan di sekitar Kampung Durian Chondong, dekat sini, menjadikan kawasan itu seumpama pesta apabila orang ramai menggunakan sauk dan serampang tiga mata untuk menangkap udang.

Udang sepit biru yang terkenal di kalangan kaki pancing di Sungai Muar dijual dengan harga sehingga RM50 sekilogram, malah seekor udang boleh mencecah berat sehingga 400 gram.

Ini kali kedua udang galah ditemui di kawasan itu selepas banjir besar pada 2006 lalu turut menyebabkan beratus-ratus kilogram udang galah gred A ditemui terperangkap di kawasan kebun penduduk kampung.

Ketua Kampung Durian Condong, Anuar Hamzah berkata, penduduk kampung mula menemui udang galah di kawasan itu sejak Sabtu lalu menyebabkan berpuluh-puluh penduduk kampung termasuk kawasan sekitarnya memenuhi kebun berhampiran sungai bagi mencari udang galah.

"Ada penduduk kampung yang mampu memperoleh 15kg udang galah dalam tempoh beberapa jam saja, malah ada yang memperoleh udang sehingga 400 gram seekor menyebabkan ramai penduduk keluar mencari udang sehingga awal pagi," katanya.

Katanya, ada penduduk dari Gemas, Negeri Sembilan dan Melaka turut berkumpul di kampung berkenaan selepas mendapat tahu banjir sudah semakin surut dan mereka sedar banyak udang akan terperangkap di kawasan kebun di tepi Sungai Muar seperti berlaku ketika banjir teruk pada 2006 lalu.

Pencari udang, Mohd Firdaus Sekontak, 17, dari Kampung Sungai Tui, dekat Bukit Kepong, berkata beliau keluar mencari udang galah sejak kelmarin selepas mendapat tahu mengenai udang galah itu daripada rakannya menyebabkannya turut sama meredah air di kawasan kebun untuk mencari udang.

Katanya, dalam tempoh beberapa jam saja beliau memperoleh 10 ekor udang seberat lebih 2kg tetapi tidak menjualnya, sebaliknya ia menjadi hidangan istimewa keluarganya.

"Saya teruja melihat udang galah sepit biru yang besar berjaya ditangkap dengan hanya menggunakan penyauk saja di kawasan kebun yang mempunyai takungan air," katanya.

Beliau menganggap penemuan udang itu sebagai rezeki selepas banjir besar menyebabkannya menggunakan sepenuhnya masa lapang hampir enam jam bersama-sama penduduk lain menangkap udang di kawasan kebun kelapa sawit.

Peraih udang yang juga peniaga kedai makan, Asiah Mail, 46, berkata, setakat ini beliau sudah membeli lebih 30kg udang daripada penduduk kampung yang kemudian dijual semula atau jadikan masakan untuk dijual di kedai makan.

"Apa yang saya beli itu hanya sebahagian kecil udang saja kerana kebanyakan penduduk tidak menjual udang berkenaan sebaliknya ia dijadikan sebagai hidangan keluarga berikutan udang galah gred A itu sukar diperoleh, malah kalau memancing di Sungai Muar pun sukar untuk mendapat udang besar seperti diperoleh di kebun sawit," katanya.

Katanya, selain udang galah, penduduk juga memperoleh pelbagai jenis ikan sungai terutama tongsan, baung, patin, tengalan dan kaloi dipercayai terperangkap selepas banjir besar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: