PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2011

PENDUDUK DIPINDAH KE PUSAT PEMINDAHAN

Penunggang motosikal meredah air banjir di Kampung Parit Pulai, Serom.

Bangunan Perpustakaan Desa Simpang 5 Darat turut ditenggelami air.

KEADAAN rumah penduduk di Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir yang dinaiki air.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 655 penduduk daripada 135 keluarga di tiga buah kampung iaitu Kampung Simpang 5 Darat, Parit Bunga Raya Hujung dan Parit Pulai dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan kediaman mereka dinaiki air banjir.

Penyelaras Bilik Gerakan Banjir Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Abd Razak Sari, 42, berkata sebanyak 64 keluarga di kampungnya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di bangunan Sekolah Agama Simpang 5 Darat sejak jam 9 pagi, kelmarin.

Katanya, pemindahan itu melibatkan 335 orang apabila kediaman mereka yang terletak di kawasan rendah mula dinaiki air berikutan limpahan air dari sungai dan kawasan kebun berdekatan apabila hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berusaha memindahkan penduduk ke kawasan selamat dan bimbang air akan terus naik.

“Penduduk mula berpindah ke bangunan Sekolah Agama Simpang 5 Darat sejak jam 9 pagi hingga petang apabila air mula memasuki kawasan kediaman mereka,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berdoa dan berharap kejadian banjir besar seperti berlaku pada tahun 2006 tidak berulang lagi dan menasihati anak-anak tidak bermain air banjir dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda.

Sementara itu, seramai 75 orang daripada 15 keluarga di Kampung Parit Pulai, Serom dipindahkan ke balai raya kampung itu yang dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

Mereka mula dipindahkan ke pusat pemindahan sejak jam 8 malam semalam apabila kediaman mereka turut dinaiki air.

Di Kampung Simpang 5 Darat, seramai 245 orang mangsa daripada 56 keluarga turut dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat apabila air dari Ulu Sungai Belemang mula melimpah ke kawasan rendah di kampung itu.

Tinjauan mendapati air Ulu Sungai Belemang yang mengalir deras melimpah ke kawasan rendah apabila tidak dapat menampung kehadiran air yang banyak menyebabkan kawasan kediaman dan kebun dipenuhi air.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: