TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2011

REZEKI UDANG GALAH PASCA BANJIR


ANUAR Hamzah (kiri) dan Asiah Ismail (tengah) menunjukkan tangkapan udang galah sepit biru yang diperoleh dari kebun kelapa sawit selepas banjir surut di Kampung Durian Chondong, Kundang Ulu, Ledang, Johor, semalam.


MUAR 15 Feb. - Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya.Begitu juga dengan kejadian banjir besar yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Dalam kesibukan penduduk membersihkan rumah dan premis mereka yang ditenggelami air banjir, kini orang ramai di Muar, Ledang dan Segamat diberi 'rahmat' dan memberi 'hasil lumayan' apabila kebun kelapa sawit dan getah yang ditenggelami air menjadi 'kolam' udang galah.

Udang galah itu dipercayai dibawa arus deras semasa banjir melanda kawasan berkenaan dan kini 'terperangkap' di kebun kelapa sawit dan getah yang masih ditenggelami air.

Sejak dua hari lalu, air di kawasan kebun kelapa sawit dan getah yang mula surut menjadi tumpuan penduduk kampung yang menggunakan jaring dan pancing bagi menangkap undang galah berkenaan untuk hidangan keluarga, malah ada yang menjualnya dengan harga kira-kira RM50 sekilogram.

Menurut Ketua Kampung Durian Chondong, Anuar Hamzah, kawasan kebun kelapa sawit dan getah di sekitar Kundang Hulu serta Bukit Kepong ibarat seperti pesta setiap petang apabila orang ramai menangkap udang galah.

"Ada yang menggunakan serampang dan ada juga menggunakan jaring. Walaupun tidak dapat menoreh, kawasan yang dilanda banjir ini rupanya masih beri hasil," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, situasi serupa pernah berlaku semasa banjir besar pada 2006 dan 2007 apabila kawasan itu menjadi tumpuan penduduk untuk menangkap udang galah.

"Kalau kita memancing di sungai pun, dalam sehari pun belum tentu boleh dapat tiga kilogram tetapi disebabkan kesan banjir ini, ada seorang kawan saya boleh dapat sehingga 10 kilogram," katanya.

Seorang pengusaha restoran yang juga peraih, Asiah Ismail, 45, memberitahu, saiz udang galah yang ditangkap penduduk itu adalah gred A yang harganya RM50 sekilogram atau lebih.

"Bukan sahaja orang kampung, orang luar dari Melaka dan Gemas, Negeri Sembilan pun tidak ketinggalan untuk menangkap udang galah di kawasan kebun dan keadaan memang macam pesta," katanya.

Katanya, sekilogram tangkapan tersebut boleh merangkumi kira-kira lima atau enam ekor udang galah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: