PENGUNJUNG SETIA

02 Mac 2011

PENGGUNA JALAN RAYA SENGSARA


LEDANG - Kira-kira 1000 pengguna jalan raya berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang ke Kampung Sagil Parit 2 berang apabila najis ayam sering bertaburan di laluan berkenaan.

Mereka mendakwa berasa sengsara terpaksa menahan bau busuk yang memualkan setiap kali menggunakan jalan ini.

Bagaimanapun, situasi lebih buruk pada waktu hujan apabila keadaan jalan yang basah menyebabkan najis terbabit mengeluarkan bau yang lebih busuk selain melimpah ke serata jalan.

Masalah berkenaan dikenalpasti berpunca daripada kehadiran lori yang yang membawa najis terbabit ke kebun sayur berhampiran.

Penduduk, Suyar Basir, 40, berkata, sikap sambil lewa pemandu lori yang tidak memeriksa rapi pintu kenderaan yang terbuka menyebabkan najis berkenaan bertaburan di atas jalan raya.

Menurutnya, najis ayam itu dibawa sebuah lori dari arah Tangkak menuju ke Kampung Sagil Parit 2.

“Pemandunya tidak menyedari najis yang dibawa bertaburan sehingga meninggalkan longgokan di sepanjang jalan.

“Masalah ini mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna terutamanya bagi mereka yang menaiki motosikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Suyar berkata, dia menyedari kewujudan najis ayam yang bertaburan di atas jalan raya ketika keluar dari ILP untuk membuang sampah yang dipungutnya di institusi berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia menyangka bau busuk yang dihidunya itu daripada sampah yang dibawanya dari ILP.

“Tetapi setelah mengamati sesuatu yang bertaburan di atas jalan, saya mengenalpasti ia adalah najis ayam yang tercicir.

“Situasi yang berlaku sejak beberapa bulan lalu ini menimbulkan rasa tidak selesa dan rungutan pengguna serta penduduk setempat,” katanya.

Suyar berkata, lebih-lebih lagi apabila najis berkenaan bertaburan berhampiran gerai makanan, pastinya ia boleh menjejaskan perniagaan.

Katanya, pernah terjadi apabila najis berkenaan bertaburan berhampiran kediaman penduduk yang mengadakan majlis perkahwinan.

“Situasi ini sangat memalukan kerana tetamu yang hadir terpaksa menghidu bau busuk dan kehadiran banyak lalat menyukarkan penyediaan hidangan makanan.

Suyar berkata, dia berharap supaya pemandu lori terbabit lebih berhati-hati dan memastikan kenderaan mereka ditutup dengan sempurna bagi mengelakkan najis yang dibawa tidak tercicir.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 02 MAC 2011

Tiada ulasan: