PENGUNJUNG SETIA

05 Disember 2011

146 MANGSA BANJIR DI JOHOR DAN MELAKA KENA PINDAH


LEDANG: Banjir yang melanda sekitar daerah ini dan Durian Tunggal sejak kelmarin menyebabkan lebih 30 keluarga serta 146 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kira-kira 52 mangsa daripada 10 keluarga penduduk Kampung Teluk Rimba, Parit Sialang dan Parit Dahlan itu dipindahkan ke Dewan Penghulu Long Kampung Teluk Rimba.

Walaupun cuaca cerah sejak kelmarin, namun paras air Sungai Kesang tidak berubah menyebabkan kawasan perkampungan berhampiran tebing sungai itu terus ditenggelami air sehingga lebih 0.5 meter.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri (atas), berkata pihaknya menggunakan pengepam bagi mengeluarkan air dari kawasan perkampungan.

Katanya, masalah banjir dipercayai berpunca daripada keadaan air pasang dan hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan kawasan berhampiran Sungai Kesang digenangi air.

"Semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara diberikan bantuan sewajarnya termasuk keperluan makanan dan selimut," katanya.

Di DURIAN TUNGGAL, seramai 94 penduduk dari 20 keluarga di Kampung Belimbing Dalam dekat sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam tengah malam kelmarin, selepas kawasan itu ditenggelami air akibat hujan lebat pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan, Ismail Ibrahim, berkata hujan tanpa henti sejak jam 2 petang, Jumaat lalu mengakibatkan 20 kediaman penduduk dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Katanya, hujan mengakibatkan paras air Sungai Beringin berhampiran penempatan itu melimpah ke beberapa kawasan rendah di kawasan itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 05 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: