TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

19 Disember 2011

REMAJA PANIK DIACU PISAU

Oleh : NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
Remaja panik diacu pisau

LEDANG – Seorang remaja terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila diacu pisau oleh penjenayah dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah rumah di Taman Sentosa, Tangkak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Lee Siau Yan, 19, dikatakan baru sahaja pulang menghantar ibunya ke Hospital Tangkak.

Namun, sebaik sahaja tiba di rumah, mangsa terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka dan terdapat kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumahnya.

Sebaik sahaja Siau Yan membuka pintu, salah seorang suspek meluru ke arahnya sambil mengacu sebilah pisau di perut dan kepala.

Setelah berjaya memasuki rumah, suspek segera menggeledah dan membawa lari barangan seperti komputer riba, dua telefon bimbit, wang tunai RM40, barangan kemas, CPU komputer dan sebuah Mercedes lama.

Sebelum melarikan diri, suspek yang dipercayai warganegara tempatan sempat merosakkan salah satu kamera litar tertutup (CCTV) di rumah semi banglo berkenaan.

Siau Yan yang merupakan penuntut salah sebuah kolej di Kajang pulang bercuti di kampung dan ketika kejadian dia bersendirian di rumah.

Mangsa yang juga masih trauma dengan kejadian itu, segera menghubungi ibunya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebaik kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222.

“Nilai kerugian dianggarkan RM40,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: