PENGUNJUNG SETIA

06 Disember 2011

JPS PAM KELUAR AIR BERTAKUNG


HAMIM Samuri (kanan) beramah mesra dengan murid-murid yang menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Miskin KRT Tangkak C di Tangkak, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 5 Dis. - Pam air akan digunakan bagi mengatasi masalah banjir yang melanda tiga kampung di Mukim Kundang Telok Rimba di sini, memandangkan keadaan itu masih berterusan.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, masalah tersebut mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan air yang bertakung di kawasan itu dijangka dapat dikeluarkan dalam tempoh lima hari sekiranya tiada hujan lebat.

Menurut beliau, buat masa ini, banjir di kawasan Mukim Kundang Telok Rimba melibatkan tiga penempatan iaitu Kampung Telok Rimba, Kampung Parit Sialang serta Parit Dahlan.

Katanya, 52 mangsa melibatkan 10 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Penghulu Long Kampung Telok Rimba, sejak semalam.

"Banjir ini dipercayai berpunca daripada air pasang. Bagaimanapun, langkah telah diambil untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasan ini terpelihara dan bantuan awal disalurkan ke pusat pemindahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan pelajar miskin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tangkak C di Bangunan Perkumpulan Wanita Bandar Tangkak di sini, hari ini.

Seramai 15 pelajar menerima bantuan persekolahan pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Pegawai Perpaduan Daerah Ledang, Azaharee Jamaludin serta Pengerusi KRT Tangkak C, Salleh Isnin.

Dalam ucapannya, Hamim berharap, perpaduan penduduk di kawasan Parlimen Ledang akan sentiasa diperkukuhkan bagi memelihara nikmat keamanan dan kesejahteraan ekonomi.

"Kerajaan juga amat prihatin dengan keperluan masyarakat yang berpendapatan rendah dan kerana itu bantuan RM100 disalurkan kepada setiap pelajar sekolah dan bantuan RM500 bagi setiap keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: