TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2011

'BANTU SAYA BELI PAM AIR'


MOHD. Hisham Ismail, isterinya, Norhafizah Yusof Latif dan anak-anaknya di depan kediaman mereka di Lorong Haji Bedu, Parit Bunga dekat Ledang, Johor.


LEDANG 17 Dis. - "Kalau dapat bantuan pam air, saya rasa lega sedikit kerana sekurang-kurangnya keluarga saya mendapat bekalan air bersih."

Itulah luahan seorang nelayan sungai, Mohd. Hisham Ismail, 43, yang bimbang mengenai keperluan utama keluarganya kerana mereka bukan sahaja tidak mempunyai bekalan air bersih tetapi juga tinggal di sebuah pondok usang di kawasan belukar berhampiran tebingan Sungai Muar di Lorong Haji Bedu, Parit Bunga dekat sini.

Tinjauan Mingguan Malaysia ke rumah yang didiami Mohd. Hisham bersama isteri serta tiga anak kecil mereka mendapati, pondok yang dibina dengan papan lapis sudah mereput dan bumbung banyak yang bocor.

Lebih membimbangkan Hisham, rumah daif itu hampir dimasuki air sungai setiap kali berlaku air pasang.

Ketiadaan bekalan elektrik dan air menyebabkan lima beranak itu tinggal di pondok terpencil tersebut dengan menggunakan cahaya pelita pada waktu malam dan bergantung pada air sungai bagi kegunaan harian.

Hisham yang juga orang kelainan upaya (OKU) memberitahu, pendapatannya sebagai nelayan yang tidak seberapa menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa tinggal berhampiran tebing Sungai Muar itu walaupun menyedari persekitarannya berbahaya kepada anak-anaknya yang masih kecil.

"Rumah ini dibina di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Oleh kerana saya tidak mempunyai tanah, saya tidak layak untuk memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Pendapatan saya sebagai nelayan memang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang namun beban saya sedikit kurang kerana mendapat elaun OKU sebanyak RM150 ekoran kecacatan tangan kanan akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Mohd. Hisham mengakui, kerana masalah kemiskinan, dia serta isterinya, Nurhafizah Yusof Latif, 18, dan tiga anak mereka yang berusia dua dan satu tahun serta dua bulan hanya mampu tinggal di pondok yang berkeluasan 3 x 5 meter.

Tanpa bilik, seluruh ruang pondok itu sahajalah yang menjadi tempat tidur dan makan mereka sekeluarga.

Pihak yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga Hisham, boleh menghubunginya di talian 017-6448785.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: