PENGUNJUNG SETIA

11 Disember 2011

TIGA KAKITANGAN TNB NYARIS MAUT

LEDANG: Tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Muar nyaris maut apabila lori dinaiki terbalik selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 6.5, Jalan Muar-Tangkak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang jururawat dari arah Muar menghala ke Tangkak dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Maslina Abd Razak, 22, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gersik, Ledang selepas menjemput adiknya, Abd Salim, 18, di perhentian bas di Muar.

Pemandu lori, Shahrul Saad, 30, berkata, mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke pejabat TNB Muar di Jalan Daud.

"Kami baru selesai menukar kabel elektrik di sebuah kampung di Ledang dan sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta itu tiba-tiba memasuki laluan kami.

"Saya cuba mengelak tetapi gagal, mengakibatkan lori kami dirempuh dan terbalik. Walaupun cedera, saya meminta dua rakan segera menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini seperti lori terbakar," katanya.

Shahrul cedera ringan manakala dua rakannya dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Maslina yang dirawat di HPSF kerana pendarahan dalaman di kepala dilaporkan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk hampir satu kilometer.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Sekyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

SUMBER: METRO AHAD, 11 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: